Nusantara, ibu kota baharu Indonesia yang sedang dibangun dengan kos AS$32 bilion (RM150 bilion), menghadapi cabaran tak dijangka—serangan tikus yang semakin menjadi-jadi akibat sampah pelancong, lapor South China Morning Post.

Projek mega yang digembar-gemburkan sebagai bandar “pintar dan lestari” ini kini terpaksa berdepan dengan realiti kurang menyenangkan sebelum sempat disiapkan sepenuhnya.

Pelancong Ramai, Tikus Pun ‘Bergembira’

Semasa cuti Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, lebih 64,000 pelancong membanjiri tapak pembinaan Nusantara di Kalimantan Timur untuk menyaksikan sendiri pembangunan ibu kota masa depan Indonesia.

Nusantara

Namun, selain keindahan bangunan kerajaan moden yang mula berdiri, mereka turut dikejutkan dengan kehadiran tikus-tikus liar di kawasan pembinaan.

Video tikus yang lari dalam kalangan pengunjung telah tular di media sosial Indonesia, mencetuskan kebimbangan tentang kebersihan dan pengurusan sisa di tapak projek tersebut.

Sampah Plastik Jadi Punca Masalah

Menurut pihak berkuasa, masalah tikus ini diburukkan lagi oleh sikap pelancong yang membuang sampah merata-rata, terutamanya botol plastik dan sisa makanan.

“Orang ramai membuang botol dan sampah di merata tempat, walaupun ada papan tanda yang meminta mereka menggunakan tong sampah,” kata Via, seorang pelancong dari Surabaya, seperti dilaporkan media tempatan.

Nusantara

Otorita Ibu Kota Nusantara (OIKN) telah mengambil tindakan pantas dengan meletakkan ratusan perangkap tikus dan menjanjikan langkah kebersihan tambahan.

Thomas Umbu Pati Tena, Timbalan Ketua Otorita bagi Kawalan Pembangunan, menjelaskan bahawa kawasan itu sebelumnya merupakan hutan bukit, jadi memang terdapat banyak sarang tikus lama.

“Kami tidak berdiam diri. Pasukan kesihatan dan komuniti sedang bertindak untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

Impian Bandar Hijau vs Realiti Ekologi

Nusantara diiklankan sebagai bandar mesra alam yang akan mengurangkan kesan ekologi berbanding Jakarta, ibu kota sedia ada yang tenggelam dan terlalu sesak.

Namun, pembangunan di atas tanah yang dulunya hutan hujan tropika menimbulkan kebimbangan alam sekitar.

Nusantara

Penyokong alam sekitar memberi amaran bahawa pembersihan hutan untuk projek ini boleh mengancam ekosistem biodiversiti yang kaya di Borneo.

Tambahan pula, kemunculan tikus secara besar-besaran menunjukkan bahawa pembangunan bandar mampan bukan sekadar tentang infrastruktur hijau, tetapi juga pengurusan sisa yang cekap.