Bintang muda Real Madrid, Endrick mendapat nama timangan baharu selepas beliau mengidolakan lagenda skuad kebangsaan England iaitu Sir Bobby Charlton.

Pemain berusia 18 tahun itu tampil buat kali pertama dalam saingan La Liga untuk Real Madrid ketika pasukan itu menewaskan Real Valladolid dengan keputusan 3-0.

Baca Juga:

Endrick dimasukkan pada separuh masa kedua berbaki 10 minit sebelum permainan tamat dan beliau berjaya menjaringkan gol ketiga Real sekaligus menutup debut gemilangnya bersama juara bertahan itu.

Pencapaian ini menjadikan Endrick pemain asing termuda yang menjaringkan gol untuk Real Madrid dalam La Liga pada usia 18 tahun 35 hari. Dia melepasi rekod sebelumnya yang dipegang oleh pertahanan Perancis, Raphael Varane.

Menariknya, beliau telah mendapat nama samaran yang unik di bilik persalinan Real Madrid iaitu “Bobby.” Nama samaran ini tercetus kerana kekaguman pemain itu terhadap legenda Manchester United, Sir Bobby Charlton.

Dalam temu bual sebelum ini, Endrick menyebut Charlton sebagai salah seorang idolanya, membawa rakan sepasukannya menggelarnya dengan panggilan mesra sebagai “Bobby.”

Musim ini, Real Madrid sekali lagi menjadi pilihan untuk menyapu bersih semua piala yang disertai oleh mereka kerana memiliki barisan pemain yang dianggap sebagai terkuat dalam kalangan pasukan di Eropah.

Pengendali pasukan, Carlo Ancelotti gemar untuk menurunkan Kylian Mbappé, Vinicius Jr dan Rodrygo dalam kesebelasan utama sambil dibantu oleh Federico Valverde, Aurélien Tchouaméni dan Luka Modric.

Di bangku simpanan, Carlo memiliki pemain seperti Endrick, Brahim Diaz dan Arda Guler yang sedia untuk dimasukkan bagi menambah bisa di bahagian serangan.