Tahukah anda bahawa 2.7 juta pelajar yang masih belum membayar hutang PTPTN, dengan jumlah hutang sebanyak RM 32.29 bilion?
Berdasarkan statistik terbabit sudah cukup memberikan gambaran yang sebahagian besar graduan kurang cakna dalam membayar semula pinjaman selepas sudah mula berkerjaya di dalam industri masing-masing.
Tidak hairanlah jika pihak PTPTN sentiasa mencari jalan yang lebih kreatif untuk memberi peringatan agar para peminjam bertanggungjawab melunaskan jumlah wang yang digunakan sepanjang pengajian di menara gading.
Baru-baru ini, tular di platform media sosial memperlihatkan video berkenaan iklan PTPN yang dipaparkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) yang telah menarik perhatian ramai.
Menerusi iklan tersebut, ia memaparkan mesej tersirat kepada para peminjam yang masih belum melangsaikan hutang mereka tetapi berhajat untuk melancong ke luar negara.
“SSelamat bercuti kepada semua pelanggan PTPTN. Semoga dipermudahkan perjalanan pergi dan balik anda,” tulis pada papan iklan digital itu.
@azrieidzmeer Kita bayar tau @PTPTNOfficial 🤣 tapi mana yang tak, mesti terasa kan? 😂 #ptptn #airport #klia2 #travel #airportvibes #klia #hutang
Iklan tersebut langsung menjadi sensasi di media sosial serta mengundang pelbagai reaksi di kalangan netizen.
Sebahagian melihat ia sebagai usaha yang kreatif dilakukan oleh pihak PTPTN memandangkan lokasi tersebut menjadi laluan utama kepada orang ramai untuk berangkat keluar negara dalam masa sama sempat mengingatkan para peminjam untuk melangsaikan hutang pendidikan demi memudahkan urusan generasi seterusnya.
Ada juga yang berkongsi dengan adanya pinjaman PTPTN, ia telah membuka jalan untuk melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi lantas sedia melunaskan hutang yang dipinjam sewaktu pengajian dulu. Malah, ada yang berkongsi untuk mendapatkan keputusan cemerlang sekaligus layak mendapat pengajian secara percuma.


Tidak kurang juga ada yang merasakan iklan tersebut sedikit sebanyak menyinggung perasaan sebahagian peminjam yang mungkin mengalami kesukaran untuk membayar semula kerana tiada pekerjaan atau bekerja dengan pendapatan yang rendah.