Dalam satu podcast, seorang influencer terkenal telah menuai kritikan netizen kerana membandingkan ‘degree’ dengan ilmu bocah.

Kenyataan dan hujah influencer tersebut dianggap mampu merosakkan pemikiran generasi muda yang seangkatan dengannya atau yang masih lagi di bangku sekolah rendah.

Hal ini kerana video tersebut telah tular dengan cepat dan ditonton ramai golongan dari pelbagai lapisan umur.

Influencer yang memiliki ramai pengikut itu seringkali menimbulkan kontroversi dalam memberikan pandangannya. Dan kali ini dia dianggap telah melampaui batas.

Pempengaruh tersebut menegaskan dia tidak akan melanjutkan pelajaran sehingga ke ijazah kerana ianya tiada dalam matlamat hidupnya.

Sambil mengingatkan universiti tempat dia belajar, UniSZA sebagai berhutang budi dengannya bukannya dia yang berhutang budi dengan universiti tersebut.

Dia berkata: “Aku tak nak sambung degree sebenarnya, dan nak berhenti. Sebab ianya tiada kaitan dengan aku punya ‘goal’ dalam hidup.

“Aku tak nak kerja dengan orang.”

Ketika ditanya bukankah degree adalah untuk menuntut ilmu, pempengaruh itu menjawab: “Ilmu bocah apa, degree tu kan kita beli. Ianya mahal, duit. Kalau nak ilmu, kat tempat lain boleh dapat ilmu.

“Orang yang mengerjakan degree ini bukannya sebab nak ilmu tetapi sebab nakkan pekerjaan. Dan kita kena bayar sendiri. So UniSZA terhutang budi dengan aku, bukan aku terhutang budi dengan UniSZA.

“Saya berikan kamu duit, kamu berikan saya degree itu. Itu dipanggil jual beli. Ibarat aku beli donat daripada kau, adakah kau baik kerana beri aku donat? Tak! Sebab itu jual beli, kecuali kau beri aku donat itu percuma.

Pempengaruh tersebut menganggap mereka yang mengambil degree adalah yang memilih untuk menjadi nerd dan mahu bekerja dalam profesion seperti doktor.

Ramai yang tampil mengkritik pempengaruh tersebut. Sambil menganggap pempengaruh tersebut boleh meracuni fikiran remaja yang lain.

Netizen yang lain menganggap pandangan pempengaruh tersebut sebagai satu penghinaan ke atas institusi pendidikan negara kita.