Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengejutkan peminat bola sepak tempatan apabila mengumumkan kemasukan pemain import baharu iaitu bekas penyerang Real Madrid, Jese Rodriguez.

Rodriguez merupakan nama besar dan pernah beraksi bersama Cristiano Ronaldo serta membantu Real Madrid menjuarai UEFA Champions League (UCL) sebanyak dua kali.

Baca Juga:

Pemain berusia 31 tahun itu bakal menyarung jersi bernombor 33 dan turut memperkuatkan jentera serangan JDT bagi mengharungi saingan AFC Champions League Elite (ACLE) musim ini.

Kemasukan pemain tersebut menyaksikan JDT kini menjadi bualan media dari seluruh dunia termasuk wartawan sukan terkemuka iaitu Fabrizio Romano.

Ini kali pertama dalam sejarah, kelab tempatan menjadi sebutan wartawan tersebut sekaligus menaikkan nama Liga Malaysia di mata dunia.

Beberapa media terkemuka eropah turut membuat liputan mengenai perpindahan Rodriguez ke JDT termasuk Marca, ESPN, Diario Sport dan Record.

Untuk rekod, Rodriguez  beraksi bersama Real Madrid dari 2011 hingga 2016 bersama beberapa bintang terkenal seperti Pepe, Gareth Bale dan ramai lagi dengan meledak 13 gol daripada 63 penampilan.

Selepas itu dia juga pernah menyertai Paris Saints Germain (PSG), Stoke City, Real Betis, Sampdoria dan kelab Turki, Ankaragucu.

Pengalaman luas yang dimiliki oleh pemain itu mampu membantu JDT dalam kempen ACLE.

Ketika ini, JDT berada pada prestasi terbaik apabila menghuni tangga kedua carta Kumpulan Zon Timur selepas melakar satu kemenangan dan satu seri untuk mengumpul empat mata setakat ini.

Kemenangan diraih ke atas kelab China, Shanghai Shenhua 3-0 dan seri 2-2 dengan satu lagi kelab dari negara Tembok besar itu iaitu Shanghai Port.