Sementara harga hartanah kian yang mahal, kelihatan ada juga individu yang cuba mengenakan kadar sewaan yang melampau namun tidak setara dengan penawaran kediaman yang disediakan.
Baru-baru ini, satu hantaran daripada seorang individu menerusi grup FB Komuniti Gelang Patah (KGP) telah dikecam teruk oleh netizen gara-gara penyenaraian harga sewa bulanan yang tidak masuk akal untuk rumahnya.
Di dalam hantaran tersebut, individu terbabit telah menghebahkan sebuah rumah teres yang terletak di corner lot mahu disewakan pada kadar RM1,700 dengan deposit setinggi RM3,000.
“ Rumah corner lot utk disewa. No1 taman gelang emas 2 jalan gelang emas gelang patah. Bulanan RM1700 Depo RM3,000”, tulisnya.
Anda boleh lihat sendiri keadaan rumah yang tidak menarik dan masih ada timbunan bahan binaan yang terbiar di ruang parkir rumah tersebut. Dari pemerhatian secara kasar, boleh dianggarkan rumah ini mungkin hanya ada dua atau tiga bilik sahaja yang tidak terlalu besar namun harganya di luar pemikiran.

Hantaran individu terbabit langsung dipenuhi kecaman dan sindiran kerana kadar sewa yang dikenakan tidak setara dengan keadaan rumah yang ditawarkan. Tambah pula lokasi rumah itu yang dipercayai bukanlah di kawasan bandar pesat atau dimaklumkan mana-mana fasiliti pengangkutan awam dan seumpamanya sebagai selling point yang berbaloi.
Sampai satu tahap, ada yang menggelarkan ia sebagai rumah setinggan kerana keadaan rumah yang tidak kondusif dan tidak layak untuk dicaj mahal untuk sewaan bulanan.


Selain daripada itu, netizen turut menyatakan dengan kadar sewa sebegitu sudah boleh dapat rumah banglo atau juga kondominium mewah yang lebih berbaloi dan lengkap fasiliti yang bagus.
Malah, ada netizen yang menegaskan keluarganya juga menyewakan rumah banglo setingkat yang lengkap tiga bilik bersaiz besar dan berada betul dekat dengan bandar hanya dicaj sekitar RM800 sahaja.
Netizen lain turut mendedahkan individu terbabit dipercayai adalah penyewa yang mahu mengambil keuntungan atas angin dengan sewakan kepada orang lain pada kadar yang lebih tinggi.