Walaupun kita sudah melepasi fasa getir dikala wabak COVID-19, tetap masih ramai individu memilih untuk bekerja sepenuh masa sebagai rider.

Kini mereka yang masih sepenuh masa mula merasa tekanan hebat oleh kedatangan rider sambilan secara beramai-ramai ekoran kos sara hidup yang semakin tinggi.

Susulan itu, seorang individu telah membuat hantaran secara anonymous di Grup FB Lalamove Riders Community Malaysia dalam meluahkan rasa kekecewaan dengan rider sambilan yang telah mengganggu periuk nasi mereka yang bekerja sepenuh masa.

Dia lalu meminta mereka yang membuat secara sambilan untuk memberi peluang kepada rider sepenuh masa untuk mengambil job kerana persaingan yang sengit.

Ditambah pula dengan upah bayaran yang rendah dan jumlah tempahan yang semakin sedikit telah menyukarkan mereka meraih pendapatan yang sepatutnya untuk menyara kehidupan seharian.

Dia menambah lagi rider sambilan sudah memiliki kerja hakiki sendiri, maka sepertinya tidak layak untuk membuat kerja lain kerana menjadikan peluang semakin tipis untuk menerima tempahan buat yang bekerja sepenuh masa sebagai rider.

Individu Minta Rider Sambilan Beri Muka Kepada ‘Full Timer’
Sumber Gambar: FB

Walaupun hantaran itu sekadar luahan hati, ramai di kalangan rider yang memberi respons bahawa mereka yang bekerja sepenuh masa tidak mengalami masalah dengan kehadiran part-timer.

“Kesian apa pulak?  Aku fulltime elok je. Isnin sampai jumaat balun betul-betul. Hari Sabtu, Ahad atau cuti umum aku cuti. Mula pukul 9 pagi hingga 5 petang… Setiap mahluk yang hidup sudah ditentukan rezeki oleh tuhan,” kongsi seorang rider.

“Aku fulltime mula 8 pagi sampai 5 petang. Tolak minyak, makan. Adalah gaji cecah RM100 sehari,” tambah seorang rider lain.

“Aku fulltime. Aku tak perlukan kesian kau,” ujar seorang rider lagi.

Malah, mereka merasakan semua orang berhak mempunyai peluang yang sama untuk menjana pendapatan sampingan untuk menampung komitmen hidup masing-masing.