Indonesia dilaporkan mempunyai hasil beras yang melimpah ruah pada ketika ini yang mana stoknya mencecah 4 juta tan yang disifatkan sebagai “angka yang luar biasa” dan rekod tertinggi sejak tahun 1969.
Susulan memiliki lebihan stok yang diperlukan dalam negaranya, Menteri Pertanian Indonesia, Amran Sulaiman, merancang untuk mengeksport 2,000 tan beras ke Malaysia pada setiap bulan dengan sasaran hasil kerjasama dengan business to business atau B2B di Malaysia menurut laman Antara.

Gred beras ditentukan oleh pemilik bisnes
Difahamkan gred beras yang dieskport pula ditentukan sendiri pemilik bisnes sama ada medium hingga premium. Beras ini pula akan disalurkan dari Kalimantan Barat terus ke Sarawak.
Perancangan eksport itu bagimanapun menerima pelbagai reaksi dari rakyatnya di media sosial.
Ramai tak bersetuju
Sebahagian besar mereka tidak bersetuju mendengar perkembangan itu kerana krisis stok beras yang terhad di dalam negara masih belum berjaya diselesaikan. Maka, tiada keperluan eksport lebihan beras yang didakwa ke Malaysia dan patut diagihkan secara meluas di dalam negaranya.
Selain itu, ada juga yang risau harga beras semasa di sana yang semakin meningkat dan dengan kegiatan eksport ini mungkin akan memberikan kesan yang lebih parah. Malah, ada yang percaya ini hanya akan menguntungkan pemain industri sahaja dan bukan buat masyarakat setempat.
Tidak sekadar itu, netizen meluahkan kebimbangan bahawa jika beras dieksport pada harga pasaran antarabangsa yang mungkin lebih rendah, ini boleh merugikan petani Indonesia yang menanggung kos pengeluaran yang tinggi.
Walaupun banyak yang mempunyai tanggapan negatif, ada yang berpendapat inilah masanya para petani di Indonesia mendapatkan keuntungan yang lebih besar kerana berlaku perdagangan di antara dua negara.
Jadi, akan berlaku kemasukan aliran wang dari Malaysia yang akan membantu pertumbuhan ekonomi negaranya di samping membuka peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada warga setempat.