Indonesia cipta sejarah baharu dalam bola sepak mereka apabila berjaya mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Filipina 2-0 di Stadium Gelora Bung Karno.

Ini bermakna mereka juga layak secara automatik ke Piala Asia 2027 selepas meraih 10 mata selaku naib juara Kumpulan F bersama Iraq.

Baca Juga:

Mereka menurunkan barisan yang dibarisi oleh pemain dari luar negara seperti Oratmagoen, Nathan Tjoe A On, Jay Idzes, Struick, Justin Hubner dan Calvin Verdonk.

Kehadiran pemain warisan dan naturalisasi yang berkualiti ternyata telah banyak membantu mengubah corak permainan mereka di pentas antarabangsa.

Ia dapat dibuktikan apabila pemain kelahiran Belanda, Thom Haye menjaringkan gol pertama pada minit ke 32 menerusi rembatan dari luar kotak penalti.

Jaringan tersebut membangkit semangat Indonesia untuk terus mengandakan asakan namun kedudukan kekal 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Babak kedua menyaksikan Indonesia bangkit dengan lebih garang dan kembali menambah gol kedua menerusia tandukan Rizky Ridho pada minit ke 56 hasil sepakan percuma.

Filipina cuba bangkit namun mereka sukar menembusi benteng pertahanan Indonesia yang beraksi dengan cukup berdisiplin ditambah pula dengan sokongan padu penyokong.

Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus mengesahkan tiket ke Piala Asia 2027 menjadi milik Indonesia. Mereka juga berpeluang layak ke Piala Dunia 2026 menerusi 6 slot yang diperuntukkan untuk benua Asia.