Indonesia menerima kehadiran tiga pemain warisan baharu menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Bahrain dan Australia.

Tiga pemain iaitu Joey Mathijs Pelupessy, Dean Ruben James, dan Emil Audero Mulyadi rasmi menjadi Warga Negara Indonesia (WNI) selepas mengangkat sumpah di kedutaan negara itu di Rome, Itali pada Isnin lalu.

Baca Juga:

Indonesia Perlu Kekuatan Tambahan Berdepan Jaguh Asia

Indonesia
Emil Audero Mulyadi Sumber Gambar: Transfermarkt

Ketua umum PSSI, Erick Thohir menyambut baik kehadiran tiga pemain ini dimana beliau menegaskan ketiga-tiga pemain diperlukan bagi menghadapi dua perlawanan penting menentang Australia dan Bahrain.

“Kehadiran mereka akan memberikan variasi dalam skuad bimbingan Patrick Kluivert dan akan memainkan peranan besar dalam dua aksi nanti,” kata Erick.

Ketika ini, Pelupessy bermain untuk kelab Belgium iaitu Lommel SK, James bermain untuk kelab Eredivisie Belanda iaitu Go Ahead Eagles, manakala Emil Audero bermain untuk Palermo FC di Itali.

Audero memiliki kaitan dengan Indonesia melalui ayahnya yang berasal dari Mataram, Nusa Tenggara Barat manakala Joey boleh beraksi bersama skuad Garuda ekoran neneknya berasal dari Maluku.

James diketahui memiliki kaitan dengan negara seberang yang mana nenek beliau berasal dari Surabaya.

Indonesia
Joey Pelupessy

Sebelum ini, PSSI berjaya mendapatkan seorang penyerang kelahiran Belanda iaitu Ole Romeny dan pemain itu ketika ini beraksi bersama Oxford United dalam saingan Liga Kejuaraan England.

Skuad kebangsaan Indonesia kini mempunyai lebih dari 15 pemain kacukan yang mana majoritinya dilahirkan di Belanda. Ini hasil dari penjajahan negara itu ke atas Indonesia pada ratusan tahun dahulu.

Dalam kedudukan sementara Kumpulan C bagi Kelayakan Piala Dunia 2026, skuad Garuda berada di tangga ketiga dengan enam mata, ketinggalan satu mata di belakang Australia di tempat kedua dan 10 mata dari pasukan tangga teratas iaitu Jepun.