Seorang tokoh akademik Indonesia, Prof. Hikmahanto Juwana, yang juga merupakan Dekan Fakulti Undang-Undang di Universiti Indonesia, mencadangkan agar kerajaan Indonesia membuka minda terhadap idea ‘menghalalkan’ kasino, dengan rujukan kepada kejayaan model yang dilaksanakan di Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), lapor Media Indonesia.
Menurut beliau, sudah tiba masanya Indonesia mempertimbangkan pendekatan yang lebih realistik dan berani dalam menangani isu perjudian, khususnya judi dalam talian yang kini berleluasa dan sukar dibendung.
“UAE yang juga negara Islam sedang bina kasino besar. Malaysia pun dah ada sejak 1969. Jadi, kenapa kita tak boleh fikir ke arah itu, walaupun negara majoriti Muslim?” katanya seperti dipetik agensi Antara pada Ahad (18 Mei).
Tiga Aspek Penting Sebelum Buat Keputusan Bina Kasino
Hikmahanto menekankan perlunya penilaian objektif sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan.
Tiga aspek utama yang beliau gariskan.
Pertama putaran wang yang besar, berdasarkan data PPATK, jumlah transaksi dari judi online yang beroperasi dari luar negara sangat besar dan tidak terkawal.
Kedua, walaupun masyarakat Indonesia dikatakan berpegang kuat pada agama, kenyataannya perjudian tetap berlaku secara meluas.
Dan ketiga adalah penguatkuasaan yang tidak berkesan dan syarikat judi online banyak beroperasi dari negara luar yang sahkan kasino, menyebabkan Indonesia tidak punya kuasa langsung untuk bertindak.
“Kalau tiga hal ini tidak dapat diselesaikan, lebih baik kita kawal dan ambil untung melalui cara yang sah, contohnya buat kasino di zon ekonomi khas macam di Genting Highlands atau Marina Bay Sands di Singapura,” katanya.