Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) telah berjaya menyiapkan Pusat Latihan Kebangsaan menggunakan sepenuhnya dana yang diberikan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh FIFA, PSSI berterima kasih kepada badan induk bola sepak dunia itu kerana membantu mereka menerusi dana yang diberikan olehFIFA Forward Development Program bagi membina pusat latihan.

Baca Juga:

Terletak di ibu kota baharu iaitu Nusantara Capital City (IKN), Fasa 1 pembinaan pusat itu mendapat dana sebanyak USD 5.4 juta daripada FIFA Forward, yang ditubuhkan pada 2016 untuk menyokong pembangunan infrastruktur bola sepak di seluruh 211 Persatuan Ahli FIFA.

Pembiayaan tersebut membolehkan pembinaan dua padang bersaiz antarabangsa (padang rumput asli dan padang rumput tiruan) dengan sistem lampu limpah, asrama pemain dua tingkat yang boleh memuatkan sehingga 150 orang dan bilik persalinan pasukan di Tapak seluas 34.52 hektar, yang merupakan pertama seumpamanya di Indonesia.

Sokongan daei FIFA juga membantu menggalakkan kerajaan tempatan menyediakan pembiayaan tambahan kira-kira USD 10 juta, membolehkan pembinaan dua asrama tambahan dan padang untuk kegunaan pelbagai sukan.

Struktur yang telah siap akan mempunyai sejumlah lapan padang, serta kolam renang, kawasan khusus untuk latihan taktikal dan fizikal dan stadium mini dengan kawasan tontonan penonton berkapasiti 600 orang.

“Inisiatif FIFA Forward penting dalam memangkin pembiayaan tambahan untuk kemudahan ini. Kami amat menghargai sokongan dan perkongsian berterusan anda dalam usaha ini. Sumbangan anda amat penting dalam menjayakan projek ini, dan kami berharap dapat meraikan kejayaan ini bersama anda,” kata Presiden PSSI, Erick Thohir dalam suratnya kepada Presiden FIFA, Gianni Infantino.

Projek itu kini 90 peratus siap dengan pembinaan dijadualkan tamat pada bulan Julai. Perasmian pusat itu dijangka berlangsung pada Ogos 2024, kira-kira sembilan bulan selepas projek itu diluluskan oleh Jawatankuasa Pembangunan FIFA pada November 2023.

PSSI telah merancang untuk menggunakan fasiliti itu buat pertama kali dengan pasukan kebangsaan lelaki B-20 tahun yang akan menggunakannya sebagai kem latihan mereka untuk Kelayakan Piala Asia B-20 AFC 2025 pada September.