Ketika mengadakan pertemuan dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, Presiden Indonesia Prabowo Subianto mencuri perhatian dunia dengan kenyataan terbukanya mengenai kemungkinan Jakarta menjalin hubungan diplomatik dengan Israel, lapor CNN.
Tapi tunggu dulu – ini bukan tentang menyerah atau meminggirkan perjuangan Palestin.
Sebaliknya, ia tentang membuka ruang dialog dengan satu syarat penting: Israel mesti terlebih dahulu mengiktiraf negara Palestin secara rasmi.
Dalam sidang media bersama, Prabowo dengan tenang menjelaskan pendirian negaranya.
Baginya, penyelesaian dua negara masih merupakan jalan terbaik untuk mencapai keamanan jangka panjang di Timur Tengah.
“Indonesia telah menyatakan bahawa apabila Israel mengiktiraf Palestin, Indonesia bersedia untuk mengiktiraf Israel dan membuka hubungan diplomatik,” katanya.
Indonesia & Perancis Seru Kedamaian
Kenyataan itu dibuat dalam konteks persiapan sebuah persidangan antarabangsa yang akan berlangsung bulan depan, dengan Perancis sebagai pengerusi bersama.
Tujuan utama persidangan ini adalah untuk menghidupkan kembali prospek penyelesaian dua negara dan mewujudkan pengiktirafan bersama antara Palestin dan Israel – satu matlamat yang kelihatan semakin jauh kebelakangan ini.
Prabowo dan Macron dalam kenyataan bersama menyeru agar persidangan ini membuka laluan yang “tidak berpatah balik” ke arah penubuhan negara Palestin, serta memperkukuh kedudukan politik untuk kedua-dua pihak agar mereka boleh saling mengiktiraf secara sah dan bermaruah.