Pempengaruh media sosial, Eira Aziera akhirnya berjaya mengumpul wang untuk membayar tuntutan saman berjumlah RM100,000 daripada wanita bernama Suharnizan Md Sidek.

Eira yang bermulut lancang dan kuat mencarut itu melabel Suharnizan sebagai gemuk macam ba** kuning ketika bersiaran secara langsung di Facebook pada 13 Oktober 2020.

Eira turut menggunakan gambar peribadi Suharnizan dan keluarganya untuk diejek secara umum ketika bersiaran.

Malu diperlakukan sebegitu, Suharnizan menuntut saman RM2 juta kerana diaibkan secara fizikal atau terkena body shaming daripada Eira Aziera.

Mahkamah kemudian memutuskan Eira Aziera bersalah kerana mengaibkan fizikal manusia lain dan dia diminta membayar saman RM100,000 serta kos guaman bernilai RM30,000.

Eira menerusi TikToknya telah menunjukkan dia sedang menyiapkan cek tunai bernilai RM100,000 untuk dibayar kepada Suharnizan.

Dia turut menyatakan dia menyelitkan permohonan maaf secara ikhlas di atas apa yang berlaku dan dia menerima keputusan mahkamah dengan terbuka.

Eira Aziera bersyukur kerana dia mengumpul wang RM100,000 itu menerusi hasil titik peluhnya tanpa berhutang atau menggadaikan asetnya untuk membayar saman tersebut. Dia juga berharap perkara ini akan menjadi pengajaran berguna kepadanya.

Dipetik dari Sinar Harian, Eira Aziera berkata: “Alhamdulillah, Eira dah siap cek (bayaran ganti rugi). Hari yang sangat bermakna dan bersejarah bagi saya. Terima kasih kepada ALLAH yang mempermudahkan urusan.

“Di sini, Eira juga nak selitkan permohonan maaf secara terbuka kepada Suharnizan andai ada kata-kata kesat yang kurang menyenangkan dan menyakitkan hati sehingga membuatkan perasaan sedih. Eira susun 10 jari, mohon ampun dan maaf.

“Kes mahkamah dah selesai. Eira reda dan wajib membayar setiap kesilapan yang dilakukan. Duit ini adalah hasil daripada titik peluh sendiri tanpa buat pinjaman atau gadai untuk bayar kepada Suharnizan.”

Di ruangan komen, ramai pengikut Eira berpendapat semenjak kes itu, Eira banyak berubah dan dah tak kuat mencarut macam dulu.

@eiraaziera6699

Pemohonan maaf secara terbuka kepada suharzan md sidek.. 🙏

♬ original sound – Eira Azieraa – Eira Azieraa

Ada juga yang menyatakan, setiap manusia akan melakukan kesilapan namun Eira Aziera kelihatan ikhlas meminta maaf.

Netizen turut berharap kedua dua pihak berdamai dengan sebaiknya selepas ini.