Seorang TikToker dan influencer dari Aceh, Indonesia telah menerima kritikan di media sosial selepas menari secara langsung dengan muzik DJ sambil membaca ayat-ayat al-Quran.

Lebih menyedihkan, tindakan itu dilakukan oleh seorang selebriti bernama Mira Ulfa yang berhijab tetapi berseluar pendek serta berpakaian ketat.

Ramai netizen mengecam tindakan Mira Ulfa yang mereka anggap telah melakukan kekufuran dan mencemarkan imej muslimah di mata dunia.

Netizen Indonesia meminta pemerintah mereka melakukan sesuatu tentang perkara itu kerana ia dianggap perkara yang sangat serius.

Yang lain pula mahu tahu sama ada Mira Ulfa boleh dikenakan hukuman sebat, memandangkan dia merupakan warga Aceh.

Seorang lagi mendedahkan bahawa, Mira Ufa sebelum ini memang seorang DJ. Namun apa yang mengecewakan dia telah memilih untuk meraih perhatian netizen dengan cara sangat kontroversi.

Setelah menerima banyak kecaman, Mira Ulfa akhirnya menutup ruangan komen dan dia tampil dengan permohonan maaf.

Dia berkata: “Salam sejahtera ke atas kamu, dan rahmat dan keberkatan Allah. Nama saya Mira. Dengan video ini, saya memohon maaf atas video yang tersebar di TikTok dan Instagram.

“Di sini, saya memohon maaf yang tidak terhingga kepada orang ramai khususnya masyarakat Aceh atas isu siaran langsung saya di Instagram.

“Saya kesal dengan apa yang saya lakukan dan pada masa akan datang saya berjanji untuk menjadi lebih baik,” kata Mira.