Seorang peniaga tembikai madu, Mohd Musdi Mustafa Kamal, 40, terpaksa menanggung kerugian hampir RM3,000 selepas berlaku salah faham mengenai pemberian tembikai percuma.

Memetik Harian Metro, peniaga itu turut mengesahkan video tular di media sosial dan berlaku di gerai jualan yang baru saja seminggu dibuka sebelum Ramadan.

Baca Juga:

“Lelaki itu mendakwa pemberian terbabit mahu dilakukan pada jam 4 petang 1 Ramadan, tetapi sebelum itu dia meminta saya buat video hebahan dan hantar kepadanya.

“Saya mengakui kesilapan saya yang tidak bertanyakan dengan lanjut jumlah infak itu dan terus buat video bagi dihebahkan di media sosial malam kelmarin.

“Selepas ia tular, saya dimaklumkan pekerja gerai bahawa sudah ada pengunjung yang berbaris sejak jam 2 petang bagi menuntut tembikai madu itu ‘secara percuma’,” katanya kepada Harian Metro.

Peniaga tersebut bergegas ke gerai selepas dihubungi pekerja mengenai berlaku kekecohan apabila individu yang mahu infak tembikai madu itu datang dan memberitahu hanya mahu menginfak sebanyak RM200 sahaja.

Oleh sebab tidak mahu mengecewakan pengunjung yang antaranya datang dari kawasan Seberang Perai, dia mengambil keputusan untuk membahagikan tembikai jualannya.

“Sebanyak lebih 400 kg tembikai madu untuk jualan terpaksa diberi kepada pengunjung, namun tidak mengapa saya sudah ikhlaskan dan anggap ia sebagai sedekah.

“Saya tidak sampai hati membiarkan mereka pulang dengan tangan kosong kerana ada yang sanggup berjalan kaki sejauh lebih satu kilometer ke gerai ketika cuaca panas terik.

“Kami terima kecaman dan makian daripada orang ramai yang mendakwa kami menipu. Mujur ada juga antara mereka yang faham dengan situasi itu,” katanya lagi.

Dalam masa dia menganggap insiden itu sebagai dugaan pada 1 Ramadan.

“Kalau kami tahu jumlah infak itu tidak perlulah video hebahan dibuat, boleh saja saya beri kepada penduduk di sekitar kawasan ini.

“Namun semuanya sudah berlaku, kami juga tidak menyalahkan sesiapa,” katanya.

Sumber