Kelab gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi antara kelab yang masih belum mengalami sebarang kekalahan dalam kempen liga pada musim ini.

Statistik yang dikeluarkan laman sesawang terkenal dalam mengeluarkan pelbagai informasi serta statistik bola sepak, Transfermarkt menyaksikan JDT bersama 10 lagi pasukan di dunia masih cemerlang dengan rekod bersih tersebut.

Antara kelab lain yang masih belum tewas dalam kancah liga domestik masing-masing ialah Red Star Belgrade (Serbia), Ludogorets (Bulgaria), Galatasaray (Turkiye), St Joseph’s FC (Gibraltar), Shan United (Myanmar), Paris Saint-Germain (Perancis), Dynamo Kyiv (Ukraine), Lincoln Red Imps (Gibraltar), Phnom Penh (Kemboja) dan Persib Bandung (Indonesia).

Bagaimanapun dapat dilihat laman ini tidak menyenaraikan Juventus sedangkan kelab Serie A itu juga masih belum mengalami sebarang kekalahan untuk berada di kedudukan kelima liga dengan tujuh kemenangan dan 13 keputusan seri.

Begitu juga dengan pendahulu liga Croatia, Rijeka yang mencatatkan sembilan kemenangan dan sembilan keputusan seri setakat ini.

Ia berkemungkinan senarai tersebut hanya memaparkan pasukan yang paling banyak meraih kemenangan dalam kempen liga pada musim ini.

Apa-apapun kesemua kelab tersebut beraksi dalam saingan liga utama di negara masing-masing.

Berdasarkan jumlah kemenangan dan kedudukan mata, Red Star Belgrade menjadi pasukan terbaik dengan 19 kemenangan dan satu keputusan seri dicatatkan manakala diikuti Ludogorets dengan 17 kemenangan dan dua keputusan seri.

Galatasaray di kedudukan ketiga hasil 16 kemenangan dan dua keputusan seri dan JDT mengekori dengan 16 kemenangan dan satu keputusan seri diraih.

Walaupun baharu sahaja mengharungi 17 perlawanan Liga Super, JDT sebelum ini pernah beberapa kali cemerlang dengan menamatkan musim tanpa sebarang kekalahan.

Jadi perkara ini bukanlah perkara asing buat skuad yang kini dibimbing oleh Hector Bidoglio itu.

Dengan sisa perlawanan yang masih ada, JDT pasti akan berusaha untuk mengekalkan prestasi cemerlang ini.

Kejayaan berterusan pastinya akan memberikan dorongan kepada perkembangan bola sepak tempatan dan memberi inspirasi kepada pasukan-pasukan lain untuk meningkatkan tahap permainan mereka.

 

Sumber