Hujung minggu ini merupakan hari-hari terakhir untuk anda ke persembahan Light & Arts di Muzium Telekom, Kuala Lumpur untuk pameran khas Immersio: Inspirasi Generasi!

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) dan Primeworks Studios (PWS), Nini Yusof berkata, TV3 mengangkat idea dan konsep segar melalui pameran seni digital berunsur teknologi terkini pada Immersio: Inspirasi Generasi By TV3.

“Saya fikir ini kali pertama kami membiarkan tenaga kerja dari Generasi Z dan Milenial dalam Media Prima Berhad (MPB) tentukan apa yang mahu dibuat dalam menyambut ulang tahun ke-40 stesen televisyen (TV) ini.

“Jadi, mereka merancang kelainan dengan mengadakan pameran digital yang sangat popular sekarang di luar Sri Pentas. Paling menarik ditonjolkan adalah membabitkan seni digital. Saya sudah melawat enam bilik yang direka tujuh artis. Saya lihat setiap bilik ada kelainan dan keistimewaan tersendiri.

“Sesuatu yang menarik apabila kita bekerjasama dengan tenaga muda, iaitu apabila kita bagi peluang untuk mereka ekspresi seni dan diri mereka,” Kata Nini.

Inspirasi Art Showcase memaparkan hasil karya tujuh anak seni tempatan yang mengubah enam bilik di Muzium Telekom menerusi projek pemetaan cahaya dan seni digital yang mengasyikkan dengan instalasi interaktif.

Enam bilik itu adalah Wanita yang dihasilkan Lakarumni dan Crystal Amira, Buletin Utama TV3 (Aw-Kult); Hiburan (Farhan Fathee), Raudhah (Sonik-Bingit!), Majalah (Fakhrur) dan Drama (Yeo Sen).

Pengunjung juga bakal dihiburkan dengan persembahan khas daripada Naim Daniel pada tarikh 8 Jun dan Alyph pada 9 Jun. Sekiranya anda tidak mempunyai apa-apa rancangan hujung minggu ini, jangan lepaskan peluang untuk sama-sama berhibur di sini!

Sumber