Acap kali, kita mendengar seseorang mangsa hanya mendiamkan diri selepas dibuli oleh individu atau kumpulan tertentu.

Mungkin atas pelbagai faktor seperti takut dibalas dendam, rasa malu atau rendah diri, tidak percaya akan bantuan dan juga barangkali  tekanan sosial yang membuatkan seseorang mangsa buli hanya memendam perasan atau sakit yang dialami selama ini.

Buli
Sumber Gambar: Semuasemuasemuanya

Laporan sebelum ini mendedahkan Statistik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam lima tahun menunjukkan sebanyak 264 kes direkodkan pada 2018, manakala sebanyak 244 kes pada 2019, 122 kes pada 2020, 51 kes pada 2021 dan 120 kes pada tahun lalu.

Boleh dilihat secara puratanya masih rendah jumlah individiu yang menjadi mangsa membuat laporan meskipun realitinya angkanya adalah lebih besar daripada ini.

Oleh itu, mangsa perlu dihebahkan dengan prosedur atau tindakan yang perlu dilakukan selepas dibuli dari peringkat sekolah mahupun kerja.

Peringkat sekolah

Buli
Sumber Gambar: theasianparent malaysia

Mangsa buli di peringkat sekolah boleh mengambil beberapa langkah untuk melindungi diri dan mendapatkan bantuan.

1. Melaporkan kepada Guru atau Pihak Sekolah

Segera memberitahu guru, kaunselor, atau pihak pentadbiran sekolah tentang kejadian buli. Jika tidak selesa bersemuka, gunakan saluran aduan seperti peti aduan sekolah atau perkhidmatan kaunseling.

2. Mendapatkan Sokongan daripada Keluarga dan Rakan

Berkongsi masalah dengan ibu bapa atau ahli keluarga yang boleh membantu mengambil tindakan. Selepas ktu, boleh juga berbincang dengan rakan-rakan yang boleh memberikan sokongan moral dan menemani ketika berada di sekolah.

3. Mengelak Situasi Berisiko

Menghindari tempat-tempat yang sering menjadi lokasi buli, seperti tandas, tangga, atau kawasan sunyi. Kalau boleh berjalan dalam kumpulan untuk mengurangkan risiko dibuli secara individu.

4. Menjaga Keyakinan Diri

Sentiasa mengamalkan komunikasi tegas tetapi tidak agresif, seperti mengatakan “Berhenti!” dengan suara yakin. Elakkan buat reaksi ketakutan yang boleh menggalakkan pembuli untuk terus bertindak.

5. Mengumpulkan Bukti

Jika buli berlaku secara dalam talian (cyberbullying), simpan tangkapan skrin atau mesej sebagai bukti. Jika dibuli secara fizikal atau lisan, cuba catat tarikh, masa, tempat, dan individu yang terlibat untuk rujukan semasa membuat laporan.

6. Menghubungi Pihak Berkuasa jika Perlu

Jika buli melibatkan keganasan fizikal serius atau ancaman yang membahayakan keselamatan, mangsa atau ibu bapa boleh membuat laporan kepada polis. Hubungi talian bantuan seperti Talian Kasih 15999 untuk mendapatkan bantuan profesional.

Peringkat kerja

Buli
Sumber Gambar: Utusan
1. Mengenal Pasti dan Merekod Insiden Buli

Anda perlu catat setiap kejadian buli, termasuk tarikh, masa, lokasi, individu yang terlibat, dan butiran insiden. Perlu simpan segala bukti seperti e-mel, mesej, atau dokumen yang berkaitan.

2. Mengelak Konfrontasi Langsung

Jangan bertindak balas secara agresif, kerana ini boleh memburukkan keadaan. Jika boleh, elakkan situasi yang boleh menyebabkan lebih banyak interaksi dengan pembuli.

3. Melaporkan Kepada Pihak Berkaitan

Laporkan kepada penyelia atau pihak sumber manusia (HR) jika situasi tidak dapat dikendalikan sendiri. Selain itu, gunakan saluran aduan rasmi syarikat jika ada, seperti peti aduan atau perkhidmatan kaunseling pekerja.

4. Mendapatkan Sokongan Rakan Sekerja

Berbincang dengan rakan sekerja yang dipercayai untuk mendapatkan sokongan moral. Jika orang lain turut mengalami buli dari individu yang sama, buat laporan bersama untuk kesan lebih besar.

5. Mendapatkan Bantuan Kaunseling atau Nasihat Profesional

Jika buli memberi kesan kepada kesihatan mental, dapatkan bantuan daripada kaunselor atau pakar psikologi. Jika diperlukan, dapatkan nasihat guaman untuk memahami hak pekerja di bawah undang-undang buruh.

  6. Membuat Laporan kepada Pihak Berkuasa

Bagaimanapun, jika situasi melarat dimana melibatkan ancaman serius, gangguan seksual, atau penderaan fizikal, mangsa boleh membuat laporan kepada polis. Laporkan juga kepada agensi berkaitan seperti Jabatan Tenaga Kerja atau Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) jika syarikat gagal mengambil tindakan.

Diharapkan dengan artikel ini dapat membantu mangsa buli dalam mengetahui langkah yang sepatutnya diambil bagi menyelesaikan isu terbabit dan tidak berterusan dalam masa mendatang.

Jadi Buddy, Bukan Buli merupakan satu kempen khas oleh The Vocket untuk sama-sama menangani kes buli di samping menyediakan satu platform selamat untuk mangsa buli berkongsi luahan tanpa identiti didedahkan.

Layari www.thevocket.com/jadibuddybukanbuliuntuk berkongsi luahan atau membaca perkongsian daripada pakar.

#JadiBuddyBukanBuli #KawanBukanLawan