Penyerang veteran, Jamie Vardy seperti diketahui bakal meninggalkan kelab yang disertainya sejak 13 tahun lalu, Leicester City pada penghujung musim ini.
Ia jelas merupakan salam perpisahan yang pilu buat Vardy selepas kelab tersebut akan kembali beraksi dalam saingan EFL Championship susulan aksi hambar ketika kempen English Premier League (EPL) 2024/25.
Baca Juga:
Selepas mengharungi 34 perlawanan, The Foxes hanya mampu mencatatkan empat kemenangan, enam keputusan seri dan mengalami 24 kekalahan untuk mengumpul 18 mata.
Pada usia 38 tahun, Vardy masih mampu menjaringkan lapan gol buat Leicester City dalam saingan EPL musim ini.

Kelab Yang Sesuai Buat Vardy
Sehubungan dengan itu, Harry Redknapp berpendapat Vardy akan mampu menjadi senjata utama buat pasukan yang baharu dinaikkan pangkat ke EFL Championship iaitu Wrexham.
Wrexham yang dimiliki oleh duo aktor terkenal Hollywood, Ryan Reynolds dan Rob McElhenney berjaya menamatkan saingan EFL League One di tempat kedua untuk mengiringi Birmingham City.
“Jamie Vardy akan menjadi satu pembelian yang sangat hebat untuk Wrexham,” ujar Redknapp menurut sumber laporan Goal.
“Dia mampu membantu mana-mana pasukan untuk naik ke liga utama musim depan dari Championship. Saya masih percaya dia ada banyak yang boleh ditawarkan jika berada dalam pasukan yang mampu mencipta peluang untuknya. Ia akan jadi langkah yang bijak untuk Wrexham.

“Saya tak fikir dia berada dalam radar kelab-kelab Premier League, tapi apa pun, saya rasa dia memang luar biasa. Etika kerjanya dan segala-galanya tentang dia memang mengagumkan.”
“Kalau saya berada dalam Championship, saya akan buat apa saja untuk dapatkan dia.”
“Dia merupakan pemain yang sangat berbaloi untuk dimiliki mana-mana kelab, memang tak perlu fikir panjang, dia beri segalanya dan bekerja keras.”
“Saya akan ambil dia bila-bila masa jika saya menguruskan kelab yang mahu naik ke Premier League. Malah, pasukan seperti Burnley yang baru naik sekalipun, gol-gol daripadanya boleh bantu mereka kekal di liga,” tambah beliau lagi.