Selalunya orang guna ayat ‘Ingat jalan ni jalan atuk kau ke?’ nak perli, tapi atuk perempuan ni memang ada jalan yang dinamakan sempena dia.

Memetik laman WeirdKaya, seorang wanita Cina-Malaysia, bermarga Chan, baru-baru ini pulang ke kampung halamannya di Kluang, Johor, untuk memberi penghormatan kepada nenek moyangnya.

Dia merasakan sebak ketika berdiri di jalan yang membawa nama datuknya, teringat akan pengorbanan dan dedikasi datuknya kepada masyarakat.

Berkongsi pengalamannya di platform media sosial Cina, Xiaohongshu, dia memuat naik foto dirinya di sebelah papan tanda jalan, yang tertulis ‘Tien Min Wah’.

Menurutnya, jalan tersebut dinamakan sempena datuknya pada tahun 1977 sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan kejayaan datuknya sepanjang hayat.

“Datuk saya bukan sahaja seorang ahli politik, tetapi juga seorang pemimpin dalam komuniti Cina. Beliau menumpukan seluruh hidupnya untuk berkhidmat kepada rakyat dan sangat dihormati,” tulisnya.

Dia menambah bahawa jarang sekali pemimpin Cina pada masa itu menerima penghormatan sedemikian.

Datuknya juga dianugerahkan Pingat Bakti Setia (BSI) dan Pingat Ibrahim Sultan (PIS) oleh Sultan Johor, sebagai pengiktirafan lanjut terhadap dedikasinya yang tidak berbelah bahagi kepada rakyat.

Tahun ini genap 20 tahun datuknya meninggal dunia. Selepas menziarahi pusaranya, dia meluangkan masa untuk pergi ke jalan yang dinamakan sempena datuknya untuk merenung legasi yang ditinggalkannya.