Kisah pekerja Speedmart yang mengadu tentang gaji rendah, masa kerja yang panjang, dan tiada elaun tambahan mula mendapat perhatian netizen, terutama selepas pendedahan bahawa pengasas syarikat itu kini seorang jutawan.
Semalam The Vocket melaporkan bahawa bekas pekerja meluahkan rasa kecewa, menganggap majikan mengaut keuntungan besar atas kesusahan mereka.
Tetapi, sejauh mana kita boleh meletakkan kesalahan hanya di pihak majikan?
Kalau lihat sejarah panjang bagaimana terbinanya 99 Speedmart, kita boleh tahu bahawa ia bukanlah perjalanan yang mudah untuk Lee Thiam Wah.
Dilahirkan daripada keluarga susah, terpaksa berhenti sekolah dan mula berniaga di tepi jalan sehingga terbinalah sebuah empayar yang kini boleh dibanggakan.
Ia perjalanan yang jauh dan penuh dengan perit jerih.
Komen-komen kurang enak daripada bekas pekerja 99 Speedmart sebenarnya bukanlah tidak boleh diambil kira, tetapi bila lihat apa yang mereka utarakan tersebut, ia adalah satu isu remeh yang sepatutnya tidak dibesarkan.
Seperti komen salah seorang netizen di laman Facebook, di mana beliau berkata bahawa tiada siapa yang letak ‘pistol’ di kepala dan memaksa mereka kerja di Speedmart.
Terdapat pelbagai alternatif lain yang boleh diusahakan jika bekas pekerja ini merasakan bahawa usaha mereka tidak dihargai di kedai runcit tersebut.
Namun, dalam ekonomi yang mencabar, ramai mungkin rasa tiada banyak pilihan, terutama untuk mereka yang hanya memiliki kelayakan asas seperti SPM.
Selain itu, ramai juga yang membandingkan gaji pekerja Speedmart dengan pekerjaan lain.
“Engineer ada ijazah gaji RM2,500 je,” kata seorang netizen, yang menegaskan bahawa isu gaji rendah bukanlah terhad kepada pekerja runcit sahaja.
Ada sektor lain yang lebih memerlukan tenaga intelek dan kepakaran, tetapi masih berdepan dengan gaji yang tidak setimpal.
Selain itu, di bahagian komen Facebook Vocket juga ada beberapa orang memberi pandangan kepada mereka yang sedang bekerja dengan 99 Speedmart.
Selain itu, ada juga netizen yang menganggap bahawa keluh kesah bekas pekerja ini adalah sebahagian daripada ‘nature of business’ di mana akan ada yang suka dan ada juga yang kurang bersetuju.
Manakala seorang netizen lagi berkata bahawa dunia pekerjaan runcit ini tidak memerlukan kemahiran yang besar.
Jadi tidak logik jika seseorang itu meminta gaji tinggi seolah-olah kemahiran yang digunakan itu besar.