Baru-baru ini, penduduk kawasan Ipoh dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat sekitar pukul 11.06 pagi dan terasa gegarannya seolah-olah dilanda gempa bumi.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris mengesahkan kejadian tersebut bukan berpunca daripada aktiviti letupan kuari atau latihan dari kem Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta.
Baca Juga:
- ‘Sonic Boom’ Punca Bunyi Dentuman Kuat Di Ipoh?
- Gegaran Ipoh Tiada Kena Mengena Gempa Bumi Indonesia, Letupan Kuari & Latihan Polis
- Pemilik Kopitiam Di Ipoh Kongsi Rahsia Raih Jualan RM1.3 Juta Pada Tahun Lalu
Juga bukan berpunca daripada ‘Sonic Boom’ (ledakan sonik) kerana tiada pesawat berkeliaran di ruang udara Ipoh pada hari kejadian.
Seorang Geosaintis, Omen Necrofis, menyatakan tiga insiden bunyi letupan kuat pernah berlaku di Ipoh mungkin berkaitan dengan faktor geologi.
“Kawasan bukit batu kapur seperti di Ipoh sememangnya mempunyai potensi untuk terjadinya runtuhan batuan tebing bukit batu kapur.
“Antara insiden paling signifikan berlaku pada 23 Oktober 1973, semasa hujan lebat berpanjangan di Ipoh, di mana runtuhan tebing batu kapur besar berlaku di Gunung Cheroh.
“Bunyi runtuhan itu sangat kuat, seperti dilaporkan dalam berita (seolah-olah sesuatu jatuh dari langit dan menghentam bumi),” katanya di laman Facebook.
Beliau menambah, kes bunyi dentuman kuat baru-baru ini di Ipoh mungkin berkaitan runtuhan blok batu kapur, tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ia berlaku di tebing bukit atau di dalam gua batu kapur kecuali jika ada saksi yang melihatnya.
“Bergantung kepada saiz.. semakin besar runtuhan, semakin kuat bunyinya dan semakin besar getaran yang dihasilkan,” katanya.
“Satu lagi fenomena geologi yang boleh menjana letupan dan gelombang kejutan adalah pemecahan jasad batuan aka ‘rock burst’.
“Di Ipoh batuan granit Banjaran Kledang dan jujukan batu kapurnya sangat berpotensi untuk berlakunya ‘rock burst’ disebabkan kekangan, mampatan atau himpitan pada batuan tersebut.
“Ini kali ketiga insiden ini berlaku di Ipoh, iaitu pada tahun 2018, 2020, dan 2024.
“Tidak ada operasi pesawat, aktiviti letupan kuari, atau jejak meteor yang jelas semasa kejadian. Dua faktor geologi ini boleh menjadi punca letupan dan gegaran,” katanya.