Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Duli Yang Amat Mulia, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor menyuarakan pendapat beliau mengenai keputusan yang diraih JDT ketika bertemu Buriram United dalam saingan AFC Champions League (ACL) Elite baru-baru ini.

Perlawanan yang berlangsung di laman sendiri itu berakhir dengan keputusan 0-0 namun ramai pihak yang memperkatakan drama yang berlaku dalam aksi tersebut yang mana diwarnai dengan layangan 3 kad merah.

Baca Juga:

Menurut Tunku Mahkota Ismail, JDT bernasib baik kerana tidak kalah dalam perlawanan tersebut dan sudah mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Nasib tak baik. Pemain ball watching, kesilapan bodoh. Kita dapat satu mata, nasib baik tak kalah. apa-apa pun saya ambil tanggungjawab sepenuhnya. Saya sudah kenal pasti apa yang perlu saya, jurulatih dan kelab untuk lakukan bagi memperbaiki pasukan.

“Terima kasih tak terhingga atas sokongan anda semua. Saya amat menghargainya. Selamanya JDT,” katanya.

Dalam perlawanan tersebut, kad merah yang dilayangkan terhadap Theerathon nyata menjadi bualan peminat di laman media sosial dimana beliau bertindak memicit alat kemaluan Arif Aiman.

Selepas semakan dibuat melalui Video Assistance Referee (VAR), kapten Buriram itu serta-merta diarah untuk keluar padang oleh pengadil.

Insiden ini turut mendapat perhatian media antarabangsa di laman X dimana Troll Football memuat naik semula video di akaun milik mereka.

Keputusan seri ini menyaksikan JDT berada di tangga keenam dalam carta kumpulan A manakala Buriram menduduki tangga kelapan.

Kedua-dua pasukan masih mempunyai peluang cerah untuk mara ke pusingan 16 pasukan terakhir namun mereka perlu mencatat kemenangan bagi mengekalkan kedudukan sedia ada.

Selepas ini, JDT akan bertandang ke Australia bagi menghadapi Central Coast Mariners pada perlawanan ke-7 dan Pohang Steelers pada perlawanan ke-8 peringkat kumpulan

Buriram pula akan turun berdepan Ulsan Hyundai diikuti Gwangju FC pada aksi terakhir kumpulan.