Baru-baru ini, seorang remaja maut selepas terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbitnya menggunakan soket di dalam sebuah bas ekspres.
Kejadian itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat terhadap keselamatan kemudahan elektrik dalam pengangkutan awam.
Baca Juga:
- Pemilik Tesla Buat ‘Terkejut’ Lepas Kantoi Curi Elektrik Di Rumah
- Mahu Jimat Elektrik? Lelaki Ini Kongsi Perbezaan Jenis Penyaman Udara Inverter Dan Non-Inverter
- Curi Elektrik Untuk Melombong Kriptowang, Syarikat Elektrik Sabah Rugi Sebanyak RM16 Juta
Ada juga yang mempersoalkan bagaimana renjatan elektrik boleh berlaku dan apakah punca sebenarnya yang boleh membawa maut?
Menurut Prof. Dr. Sawal Hamid dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), renjatan elektrik yang berlaku dipercayai berpunca daripada soket berkuasa tinggi 220/240V dalam bas tersebut, bukan dari pengecas USB yang biasanya beroperasi pada voltan rendah.
“Beberapa bas ekspres dilengkapi dengan ‘inverter’ yang menghasilkan arus 240V AC untuk menyediakan kuasa seperti di rumah.
“Namun, tanpa penyelenggaraan yang baik, risiko bahaya boleh wujud, terutama jika ada masalah pada pendawaian atau soket yang rosak,” kata kenyataan yang dikongsi menerusi facebook Public Health Malaysia.
Sebagai pengguna, kita perlu lebih berhati-hati:
• Elakkan menggunakan soket elektrik dalam bas jika kelihatan longgar atau rosak.
• Pastikan peranti anda dalam keadaan baik sebelum mengecas di tempat awam.
• Jika ada keraguan, lebih baik berhati-hati daripada mengambil risiko.
Mungkin sudah tiba masanya syarikat bas dan pihak berkuasa memperketatkan pemeriksaan dan penyelenggaraan terhadap kemudahan elektrik dalam bas. Keselamatan pengguna perlu menjadi keutamaan.
Sebagai langkah pencegahan, syarikat bas mungkin boleh mempertimbangkan untuk menggantikan soket 240V dengan soket arus rendah, seperti USB 5V, yang lebih selamat untuk mengecas peranti elektronik.
Dengan cara ini, risiko renjatan elektrik yang boleh menyebabkan maut dapat dikurangkan.