Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) memberikan maklum balas mengenai permintaan FA Bahrain yang mahu aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang pasukan kebangsaan itu pada Mac 2025 diadakan di venue berkecuali ekoran faktor keselamatan.
Bahrain membuat permintaan tersebut setelah mendapat kecaman, kritikan di media sosial bahkan serangan siber selepas aksi kedua-dua pasukan di Manama yang berakhir dengan keputusan seri 2-2 pada minggu lalu.
Baca Juga:
- Risau Ancaman Penyokong, Bahrain Cadangkan Aksi Lawan Indonesia Diadakan Di Gelanggang Berkecuali
- Instagram Pengadil Kontroversi Hilang Selepas Indonesia Seri Lawan Bahrain
- Indonesia vs Bahrain: Hasrat Raih Kemenangan Pertama Garuda Tidak Kesampaian
Melihat kepada perkara ini, Bahrain mahu aksi menentang Indonesia diadakan di venue berkecuali kerana bimbang akan keselamatan pemain dan pegawai pasukan serta penyokong yang bertandang ke tempat lawan.
PSSI melalui salah seorang EXCO iaitu Arya Sinulingga memberi maklum balas kepada permintaan itu dimana beliau menegaskan Indonesia merupakan satu negara yang aman damai.
“Pertama kita akan hantar surat ke AFC yang menyatakan mahu perlawanan tersebut kekal berlangsung di Jakarta, kerana sebelum ini kami beraksi di ibu kota Bahrain.
“Kedua, kita akan memastikan keselamatan dan keselesaan tetamu kita iaitu Bahrain kerana kita sebagai rakyat Indonesia adalah bangsa yang ramah terhadap tetamu.
“Kemudian mengenai apa yang berlaku di media sosial, rakyat negara ini kadang-kadang banyak komen tetapi mereka sebenarnya baik. Kita memang terkenal sebagai bangsa yang ramah. Kita sudah membuktikan ketika menjadi tuan rumah Piala Dunia B-17 Tahun yang mana kejohanan itu berlangsung dengan sempurna,” katanya.
Difahamkan selain daripada serangan siber, skuad Bahrain telah menghadapi pelbagai penghinaan dan ancaman yang menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pemain dan kakitangan.
Persatuan tersebut mendedahkan bahawa laman web rasmi, akaun media sosial, dan sistem surat menyuratnya telah digodam dan dibanjiri dengan komen dan ancaman yang menghina.
“Tindakan ini juga menyasarkan akaun peribadi pemain dan penyokong Bahrain. BFA menekankan bahawa perilaku sedemikian adalah sama sekali tidak selari dengan semangat kesukanan dan nilai-nilai bola sepak, yang bertujuan untuk menyatukan orang di seluruh sempadan.
“Kebimbangan utama adalah keselamatan pasukan kebangsaan, yang mana persatuan khuatir bahawa ia mungkin terancam jika perlawanan diadakan di Indonesia.
“BFA menekankan bahawa keselamatan pemain adalah sangat penting dan mendesak pihak FIFA dan AFC untuk mengutamakan perkara ini dalam membuat keputusan,” dipetik dari kenyataan BFA.