Sejak tarif dinaikkan oleh Trump untuk perdagangan, sejumlah syarikat gergasi perlu berfikir di luar kotak dalam mengawal kos tertentu agar masih boleh buat keuntungan dengan kadar yang minimum.

Menurut laporan The Times of India, Apple telah menghantar lima pesawat kargo yang membawa iPhone dan produk lain dari India dan China ke Amerika Syarikat pada akhir Mac.

Apa yang terjadi sebenarnya?

Apple
Sumber Gambar: NBC News

Hal ini bagi mengelakkan daripada membayar tarif asas 10% yang dikenakan oleh Presiden Trump yang berkuat kuasa pada 5 April.

Penghantaran kecemasan ini tiba dalam tempoh tiga hari pada minggu terakhir bulan Mac, yang bermakna gudang-gudang Apple di Amerika Syarikat kini mempunyai bekalan untuk beberapa bulan.

“Stok simpanan yang tiba dengan duti yang lebih rendah akan buat sementara waktu melindungi syarikat daripada harga yang lebih tinggi yang perlu dibayar untuk penghantaran baharu di bawah kadar cukai yang disemak,” kata satu sumber kepada Times.

Dapat kekalkan harga jualan sebelum tarif

Apple
Sumber Gambar: Reuters

Tindakan tersebut dijangka dapat menghalang Apple daripada menaikkan harga produknya dalam masa terdekat.

Ini kerana sebahagian besar produk Apple dihasilkan di China, Vietnam, dan India, dan mulai 9 April, barangan yang diimport dari negara-negara berkenaan akan dikenakan tarif masing-masing sebanyak 54%, 46%, dan 26%.

(Tarif balas China adalah 34%, namun sebelum ini mereka telah dikenakan tarif 20%, menjadikan jumlah tarif sebanyak 54%).

Menurut Rosenblatt Securities, kos iPhone boleh mencecah sehingga $2,300 (~RM11,250). Telefon pintar paling mahal syarikat itu, iPhone 16 Pro Max, kini berharga maksimum $1,599 kira-kira RM7,195.50.

Dalam pada itu, Nintendo juga dilaporkan telah menghantar produk pada bulan lepas untuk mengelakkan tarif baharu.

Menurut Financial Times, lebih separuh daripada perkakasan Nintendo di AS berasal dari Vietnam dan Kemboja, dan syarikat permainan video itu telah menghantar lebih 383,000 unit Switch 2 dalam tempoh lima hari pada bulan Januari untuk “mengatasi risiko tarif”.