Abang kepada Juruteknik yang terkorban ketika sedang menjalankan tugasan di Gunung Machincang, Langkawi tempoh hari menjawab kekeliruan dikeluarkan beberapa portal dengan mengesahkan bahawa adiknya merupakan kakitangan Eagle’s Nest Skywalk Sdn Bhd.

Penjelasan itu dibuat oleh abang mangsa, Khairil Ajhar Jaafar lepas difahamkan terdapat laporan mengatakan bahawa Khairul Nizam adalah kakitangan Langkawi Cable Car atau lebih dikenali sebagai Langkawi SkyCab.

Dalam pada itu menurut satu kenyataan penjelasan dibuat oleh Khairil, beliau turut menepis dakwaan yang mengatakan adiknya terjatuh daripada kereta kabel.

“Assalammualaikum, saya nak buat sedikit pembetulan pada mereka yang terbaca artikel dari berita atau daripada mana-mana portal.’’

“Adik saya Nizam bekerja di Eagle Nest Sdn Bhd dan bukan di Langkawi Cable Car.’’

“Kemalangan beliau masih dalam siasatan pihak Polis tetapi boleh dimaklumkan yang dia jatuh dari ketinggian 50-60 meter cerun tepi kawasan tempat dia bekerja.’’

“Tetapi yang pasti bukan terjatuh dari kereta kabel seperti dilaporkan. Semoga ia terjawab semua soalan adik beradik,’’ tambah Khairil Ajhar lagi.

Sementara itu dalam perkembangan sama menurut sumber laporan Harian Metro, pihak Langkawi Skywalk yang merupakan pemilik produk pelancongan Eagle’s Nest Skywalk mendedahkan lokasi kejadian bukan merupakan kawasan kunjungan awam.

Selain itu, Langkawi Skywalk memberikan jaminan bahawa akan memastikan kebajikan mangsa serta keluarga juruteknik tersebut dijaga dengan baik.