Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjangkakan kediaman yang terjejas akibat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada awal bulan lepas dapat dibina dan dibaik pulih sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.
Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata setakat ini, kerja-kerja membina dan membaik pulih 219 kediaman penduduk yang terjejas sedang mengikut pelan dan jangka masa ditetapkan, petik BERNAMA.
Baca Juga:
- 5 Warga Pakistan Terima Penghargaan Selamatkan Mangsa Tragedi Putra Heights
- Tragedi Putra Heights: Panasonic Rugi 3% Pendapatan Tahunan
- Harga Rumah Di Putra Heights Jatuh 20%?
“Kontraktor kini giat menjalankan kerja-kerja membaik pulih dan membina kediaman yang musnah, saya harap dalam tempoh kurang dua tahun kita dapat siapkan rumah baharu untuk mangsa terlibat, yang musnah sepenuhnya kita bina rumah baharu untuk mereka manakala rumah boleh dibaiki, kita baik pulih,” katanya.
Tambahnya lagi, Nga berkata kerajaan menerusi KPKT memperuntukkan RM46 juta bagi proses membaik pulih rumah dan infrastruktur awam yang terjejas dalam insiden letupan Putra Heights itu.
Insiden yang berlaku pada 1 April lalu telah mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar manakala 21 rumah tidak terjejas.