Sebuah badan pemikir dalam bidang dasar kesihatan mencadangkan agar insurans kesihatan dan sosial peringkat nasional diperkenalkan.

Ia akan dibiayai melalui kenaikan kadar caruman KWSP tanpa menyentuh simpanan persaraan sedia ada pencarum, petik Free Malaysia Today.

Baca Juga:

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Khalib, menjelaskan bahawa model skim ini boleh mengambil inspirasi daripada sistem Tabung Simpanan Pusat (CPF) Singapura pada awal 1980-an.

Ketika itu, pencarum memperuntukkan antara 8% hingga 10.5% pendapatan mereka ke dalam akaun MediSave.

Badan Pemikir Cadang Wujudkan Insurans Kesihatan Negara Guna Caruman KWSP, Ini Caranya
Sumber Gambar: Mstd.Social

“Cadangan ini tidak akan melibatkan simpanan persaraan sedia ada. Sebaliknya, ia memerlukan peningkatan caruman oleh pekerja dan majikan, yang kemudiannya diperuntukkan khusus untuk dana insurans kesihatan dan sosial negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azrul menambah, dana ini bukan bertujuan menggantikan bajet tahunan kerajaan, sebaliknya bertindak sebagai pelengkap – sekali gus membuka ruang kepada pembiayaan yang lebih mampan dalam jangka panjang.

Beliau menjelaskan bahawa skim ini akan memberikan akses kepada perkhidmatan kesihatan awam dan swasta, tanpa pengecualian terhadap penyakit sedia ada, tanpa kos yang membebankan, dan hanya memerlukan bayaran bersama (co-payment) yang minimum jika perlu.

Tambah beliau lagi, dana tersebut boleh digunakan untuk menambah baik kemudahan hospital awam serta memperluas akses kepada ubat-ubatan dan rawatan kritikal yang kini masih di luar jangkauan ramai rakyat Malaysia.

Menteri Kesihatan pernah cadangkan perkara sama

Senang Macam Singapura, Ahli KWSP Bakal Dibenarkan Guna Akaun 2 Untuk Bayar Insurans Kesihatan

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad mencadangkan agar KWSP membenarkan pencarum menggunakan dana daripada Akaun 2 mereka bagi membayar premium insurans perubatan.

Buat masa ini, pencarum KWSP dibenarkan menggunakan dana Akaun 2 untuk keperluan tertentu seperti pendidikan, perumahan dan kesihatan, serta membuat pengeluaran separa apabila mencapai usia 50 tahun.

Namun, Azrul memberi amaran bahawa dengan hanya 18% pencarum KWSP kini memiliki simpanan persaraan yang mencukupi, membenarkan penggunaan simpanan untuk membayar premium insurans hanya akan memburukkan lagi situasi.

“Mendakwa bahawa pencarum tidak akan sedar pun tentang pengeluaran itu kerana ia automatik dan datang daripada akaun Sejahtera adalah satu perkara yang berbahaya – ia menggalakkan buta kewangan dan menunjukkan pemisahan realiti daripada kehidupan harian rakyat,” tegasnya.