Apple pada pagi tadi secara rasminya memperkenalkan sebuah kemas kini model baru di dalam keluarga telefon pintar SE mereka iaitu iPhone 16e.
Dengan pengenalan model iPhone 16e, ia bakal memberi satu pilihan yang lebih mampu milik buat peminat Apple yang mahu beralih ke generasi terkini yang dilengkapi sejumlah teknologi yang lebih canggih sekaligus menjadi pengganti kepada iPhone SE generasi ke-3 tahun 2022.
iPhone 16e

iPhone 16e hadir dengan cip pemprosesan Apple A18 dan menariknya pada model ini dilengkapi dengan modem selular pertama yang dibangunkan Apple sendiri iaitu Apple C1 yang didakwa adalah modem paling cekap tenaga setakat ini.
Skrin iPhone 16e didatangkan jenis Super Retina XDR jenis OLED berukuran 6.1-inci yang menyokong kecerahan maksimum mencecah 1,200nits. Dengan penggunaan cip yang berkuasa, model ini pada dasarnya boleh mengakses kepada sokongan kecerdasan buatan Apple Intelligence.
Bercakap mengenai kamera pula, model iPhone 16e mempunyai kamera utama 48-megapixel Fusion, sekaligus membolehkan rakaman gambar dan video yang cantik, selain turut mengintegrasikan sokongan telefoto 2x. Dan ini juga buat pertama kalinya Apple menyertakan sensor dua dalam satu pada iPhone.
Selain itu, kamera utamanya turut berkemampuan merakam video 4K dengan Dolby Vision sehingga 60fps dan rakaman bergerak perlahan 1080p pada 240fps sementara kamera depannya mempunyai lensa 12MP f/1.9 yang mampu merakam 4K dengan Dolby Vision.
Ciri lain yang ditawarkan pada model 16e ini termasuklah penggunaan USB-C, menyokong 5G, WiFi 6, Bluetooth 5.3, speaker jenis stereo, ciri kalis IP68 dan NFC. Malah, terdapat butang fizikal Action Button pada bahagian tepi bagi memudahkan akses kepada ciri tertentu dengan mudah dan pantas.
Walaupun berada dalam kelas mampu milik, Apple mendakwa iPhone 16e mempunyai jangka hayat bateri yang panjang dek kerana pengurusan kuasa yang lebih efisien dengan adanya cip baharu dan sistem kebijaksanaan AI.

Pengguna Malaysia boleh mendapatkan iPhone 16e ini pada harga RM2,999 untuk 128GB, RM3,499 untuk 256GB dan RM4,499 untuk 512GB. Anda yang berminat boleh buat pra-tempahan bermula 21 Februari 2025, dengan jualan akan dimulakan pada 28 Februari 2025.