Berbaki 5 bulan sahaja lagi sebelum pelancaran barisan telefon pintar Apple generasi yang ke-17 di mana boleh dijangkakan terdapat penaik tarafan spesifikasi yang lebih maju serta kemampuan kamera yang mengujakan ramai.
Bagaimanapun, pada tahun ini, agak mengejutkan apabila sudah ada satu petunjuk yang jelas memperlihatkan rekaannya tampil berbeza berbanding siri-siri sebelumnya.
Hal ini dihebahkan sendiri seorang YouTuber terkemuka dan dipercayai di dalam bidang teknologi iaitu Unboxtheraphy yang mana dia sudah mendapat akses lebih awal kepada rekaan prototaip siri iPhone 17 Pro Max.
Menerusi sedutan video yang dikongsikan di Instagramnya, dia telah membuka satu bungkusan yang dipercayai berisi sampel reka bentuk iPhone 17 Pro yang bakal dilancarkan pada September kelak.

Sebaik dipegang pada tangannya, boleh lihat pada kali ini mempunyai rekaan yang sangat berlainan sekaligus memberikan gambaran pihak Apple mahu membawa keunikan tersendiri dan tidak mengikut rekaan tradisi lamanya.
Antara yang paling ketara adalah konfigurasi modul kamera yang mempunyai bongol yang panjang dari sisi kanan hingga ke kiri sekaligus menjadikan ia seperti terbahagi kepada dua bahagian. Sementara kedudukan flash juga dialihkan ke bahagian hujung kanan telefon pintar.
Menariknya, dia mendedahkan rekaan kali ini menampilkan rekaan dua tona yang mana pada bahagian akan kelihatan lebih pekat, tetapi pada bahagian badan pula kelihatan lebih pudar menjadikan permukaan nampak berlainan di antara dua bahagian.
Dalam pada itu, dia turut mendedahkan telefon siri ini terasa lebih tebal yang mana memberi bayangan akan ada penambahan kapisiti bateri yang lebih besar.
Seusai kemudian, dia membuka bungkusan yang berisi rupa sebenar iPhone 17 Pro Max yang lebih realistik dengan menampilkan warna sebenar peranti tersebut.
iPhone 17 Pro Max bakal menggunakan badan aluminium dan bukannya titanium seperti penghasilan pada siri sebelum ini.

Pada bahagian belakang iPhone di bawah kameranya, dipercayai Apple akan memberikan kemampuan pengecasan secara wireless yang lebih berkuasa dan ini termasuk juga penaik tarafan pada USB-C untuk pengecasan mencecah 35 Watt. Ciri lain seperti Action Button masih dikekalkan pada siri Pro kali ini.
Bonggol kamera kelihatan sama sahaja seperti siri sebelumnya tetapi modul keseluruhan pada bahagian kamera tetap tampak tebal, yang mana sudah pasti akan kelihatan timbul sedikit apabila diletakkan pada permukaan rata.
Adalah tindakan radikal Apple dalam membawa pembaharuan di dalam reka bentuk iPhone 17 Pro ini berbaloi? Apa yang pasti rekaan ini menerima pelbagai reaksi dari pengguna di luar sana kerana ada yang merasakan ia terlalu buruk dan tidak estetik dan ada yang melihat ia sebagai langkah yang bagus dalam mencipta kelainan.
Tidak kurang juga ada yang berpendapat Apple sudah ketandusan idea dan mengambil idea rekaan dari Pixel yang mana cukup terkenal dengan rekaan modul kamera sedemikian.