Kontroversi mengenai kedudukan ketiga Syed Saddiq di 113 Triathlon Desaru 2024 terus menarik perhatian ramai, dengan terbaharu beliau tampil mohon maaf dan mengakui terdapat kesilapan.

Namun, tidak lama selepas video penjelasan beliau dimuat naik, Syed Saddiq telah mengeluarkan kenyataan terperinci yang diharapkan dapat menjernihkan keadaan.

Syed Saddiq telah memuat naik kemas kini terbaru dengan data yang lebih terperinci selepas perlumbaan, yang diperolehi daripada pasukan teknikal.

Beliau menjelaskan bahawa terdapat kesilapan yang telah menjejaskan catatan masanya.

Syed Saddiq menyatakan bahawa selepas merujuk kepada data iWatch beliau, terdapat catatan yang tidak jelas.

Sebagai contoh, iWatch mencatatkan beliau hanya berenang sejauh 100m, sedangkan perlumbaan sebenarnya adalah 2.25km.

Semasa sesi berbasikal, beliau menyedari sesuatu yang tidak kena mengenai catatan masanya.

Beliau segera memberitahu pasukan teknikal 1, yang terdiri daripada dua pegawai.

Namun, pasukan teknikal memberitahu bahawa tiada apa masalah yang ditemui dan beliau meneruskan perlumbaan seperti biasa.

Tambah beliau lagi, data terbaru menunjukkan bahawa Syed Saddiq melengkapkan tiga pusingan dan melalui semua checkpoint, tetapi satu pusingan pada awalnya adalah untuk perlumbaan Olympic loop, bukan 113.

Ini menjelaskan mengapa ia kelihatan seperti beliau hanya melengkapkan dua pusingan (60km) tetapi sebenarnya tiga pusingan (72km).

Syed Saddiq mengakui kesilapannya dan memohon maaf kepada komuniti triathlon.

Beliau menyatakan walaupun telah memeriksa masalah ini semasa perlumbaan dan memberitahu pasukan teknikal, sebagai peserta, beliau sepatutnya lebih bertanggungjawab.

Beliau juga menyatakan bahawa setelah berbincang dengan penganjur dan wakil teknikal, adalah baik status beliau diubah kepada DNF (Did Not Finish).

“Saya memohon maaf kepada komuniti Trithlon. Ya, saya seorang pendatang baru dan saya berharap dapat memperbaiki diri. Saya berjanji akan lebih berhati-hati pada masa akan datang dan akan bekerjasama rapat dengan komuniti untuk menjadi lebih baik kerana ini adalah sukan yang saya benar-benar cintai,” kata Saddiq.