Dalam perkembangan terkini isu sandwich ham & cheese yang tular sebelum ini, Jabatan Kimia mengesahkan bahawa tiada unsur asid deoksiribonukleik (DNA) khinzir dalam semua sampel setiap perisa sandwich.

Memetik Sinar Harian, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara itu disahkan oleh Jabatan Kimia sebagai pihak yang berautoriti berkaitan isu berkenaan.

Baca Juga:

“Ada pihak yang bertanya tentang isu DNA Porcine dan sebagainya, laporan daripada Jabatan Kimia pihak yang berwibawa dan berautoriti.

“Saya ingin sahkan walaupun kita boleh tengok daripada pendakwaan tersebut tidak ada dakwaan dibuat kerana Jabatan Kimia telahpun mengesahkan bahawa tidak ada DNA Porcine babi dalam semua sampel, semua jenis perisa tersebut,” katanya.

Beliau berharap rakyat memahami bahawa pendakwaan siasatan telah dilakukan dengan telus dan ia telah dirujuk kepada pihak yang berautoriti.

“Maka kita segerakan pendakwaan atas kesalahan pelanggaran kepada dua perundangan tersebut dan saya juga berharap bahawa semua pihak untuk mengambil tindakan yang serius.

“Maksudnya di sini perlu untuk memastikan penggunaan logo halal yang diperakui oleh agensi yang berwajib iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Ini bukan isu yang kita boleh ambil ringan dan kita selaku penguat kuasa, walaupun kita bukanlah pengeluar logo halal itu tetapi kita membantu akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang kesalahan dan kita alu-alukan juga laporan serta aduan daripada semua pihak,” katanya.

Terdahulu, seorang pengarah syarikat pastri yang membekalkan 366 sandwich pelbagai jenis di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya mengaku tidak bersalah di atas enam pertuduhan yang sama ke atasnya, di atas kesalahan di lokasi, tarikh dan waktu sama mengikut Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Sumber