Jodoh selama 13 tahun Jamie Vardy dan Leicester City bakal menemui penghujung selepas penyerang veteran itu sah akan meninggalkan The Foxes pada penghujung musim ini.
Perkembangan terkini mengenai masa depan Vardy itu disahkan sumber laporan The Guardian.
Baca Juga:
- ‘Musim Ini Satu Kehinaan Dan Macam Tahi’ – Jamie Vardy
- Pengaruh Besar Vardy Di Leicester Buat Nistelrooy Terpinggir
- Kekal Cergas Pada Usia 37 Tahun, Jamie Vardy Kongsikan Tiada Hari Tanpa Kafein Dalam Hidupnya
Vardy diangkat sebagai salah seorang daripada legenda ulung kelab tersebut hasil kejayaan membantu Leicester City mundul juara English Premier League (EPL) 2015/16 dan Piala FA 2020/21.
Vardy menandatangani lanjutan kontrak selama 12 bulan musim panas lalu selepas membantu Leicester muncul juara EFL Championship bagi membolehkan mereka kembali ke EPL pada musim ini.
Tetapi musim ini merupakan satu perjuangan yang cukup sukar buat mereka apabila terpaksa kembali ke saingan EFL pada musim hadapan ekoran prestasi buruk dalam kancah liga paling berprestij itu.

Minggu ini pemain berusia 38 tahun itu telah membuat permohonan maaf kepada penyokong selepas Leicester secara rasminya jatuh liga walaupun aksi EPL masih berbaki lima perlawanan.
Sehubungan dengan itu, beliau turut menganggap musim ini sebagai satu perjalanan liga yang ‘penuh kehinaan’.
Perjalanan Panjang Jamie Vardy Bersama Leicester City
Perjalanan karier Jamie Vardy merupakan salah satu kisah penuh inspirasi dan menarik pada era moden ini dimana beliau menyertai Leicester dari Fleetwood yang merupakan pasukan bukan liga dengan harga £1 juta pada 2012.
Itu tidak menjejaskan fokus beliau untuk membuktikan kemampuan diri sehingga berjaya mengukuhkan dirinya sebagai pemain antarabangsa England serta menjadi salah seorang penyerang terbaik dalam Liga Perdana.
Mengikut statistik, beliau telah menjaringkan 198 gol dalam 435 penampilan untuk Leicester City.
Pada musim 2019-20 ketika berusia 33 tahun, Jamie Vardy menjadi pemain tertua memenangi Anugerah Kasut Emas EPL yang menyaksikan beliau menjaringkan 18 gol.

Mengulas mengenai perpisahan ini, pemilik Leicester City, Aiyawatt Srivaddhanaprabha mengucapkan terima kasih diatas sumbangan besar pernah dicurahkan oleh Vardy terhadap kelab itu.
“Jamie adalah seorang yang unik. Dia seorang pemain istimewa dan seorang insan yang lebih istimewa.”
“Dia sentiasa memiliki tempat istimewa di hati semua yang terlibat dengan Leicester City dan dia pastinya menerima penghormatan serta kasih sayang saya yang paling mendalam.”
“Saya amat berterima kasih atas segala yang telah disumbangkannya kepada kelab bola sepak ini,” ujar Aiyawatt menurut sumber laporan The Guardian.