Kita memang sudah diajar untuk berbaik seperti menderma kepada seseorang dengan hati yang ikhlas. Apabila seseorang mula meminta secara paksa, kita selalunya merasa tidak selesa untuk berbuat sedemikian selepas itu.
Ini situasi yang dihadapi oleh ramai pengguna aplikasi penghantaran di negara kita apabila sebahagian rider sedia mengemis tips sebelum membuat penghantaran yang ditempah menerusinya.
Seorang pengguna menerusi Threads berkongsi satu tangkap layar memperlihatkan tindakan rider yang meminta tips menerusi pesanan di aplikasi Grab.

Apa yang membuatkan pengguna terbabit bertambah bengang apabila rider berkenaan bukan sahaja menagih tips sebelum mengambil tempahan yang dibuat malahan terus membatalkan pesanan selepas tidak menerima respons olehnya.
Menjengah ke ruangan komentar, ramai rupanya mengalami situasi yang sama di mana rider meminta tips setiap kali menerima tugasan penghantaran sehinggakan membuat ramai bengang.
Pelbagai alasan yang diberikan oleh sesetengah rider demi meraih tips tambahan daripada pelanggan walaupun pemberian itu sepatutnya dibuat secara ikhlas dan bukan secara paksaan.
Lebih mengeruhkan keadaan lagi apabila ada individu mengadu makanan yang dihantar didakwa sengaja dirosakkan seolah-oleh memberontak kerana permintaan tips tidak dipenuhi oleh pelanggan.
Ramai meluahkan pendapat yang mereka lebih selesa memberikan tips selepas penghantaran dipenuhi tanpa dipaksa oleh seseorang. Malah, sebarang paksaan sebenarnya membuatkan mereka lagi tidak ikhlas untuk berbuat sedemikian.
Selain itu, ada netizen yang mendapati budaya meminta tips sudah seakan sama negara Amerika Syarikat dan berharap perkara ini tidak dinormalisasikan oleh warga tempatan kerana sudah melanggar etika kerja.
Dalam pada itu, sebahagian rider turut berkongsi yang mereka sentiasa melakukan sebarang tugasan penghantaran tanpa mengharapkan sebarang tips kerana sudah menjadi tugas hakiki.
Namun, hanya disebabkan sesetengah rider yang tidak bertanggungjawab inilah yang menimbulkan pandangan negatif terhadap profesion mereka.