Lagenda Bola Sepak Johor, Rizal Sukiman berpendapat Johor Darul Ta’zim (JDT) layak diberikan gelaran tertinggi selepas mengecapi pelbagai kejayaan dalam Liga Malaysia dan juga di pentas antarabangsa.
“Johor Darul Ta’zim (JDT) tak layak digelar Raja Bolasepak tetapi Maharaja Yang Teragung untuk sukan bola sepak negara,” kata Rizal Sukiman dipetik dalam Berita Harian.
Baca Juga:
- JDT Kaut RM4 Juta Selepas Empat Perlawanan ACLE
- Jurulatih Gwangju Terkejut JDT Ada Ramai Pemain Import
- JDT Raih Kejuaraan Berganda, Julang Piala Futsal Malaysia 2024
Apa yang dikatakan oleh Rizal ada benarnya kerana JDT juga satu-satunya pasukan dari Malaysia yang menjuarai Piala AFC.
Musim ini, JDT sudah memenangi lima trofi dengan skuad utama dibawah kendalian Hector Bidoglia telah menjuarai Piala Sumbangsih dan juga Piala FA.
Malah, mereka juga telah memenangi Piala Presiden, Piala Belia serta Divisyen 1 Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL).
Skuad Harimau Selatan juga berpeluang menjuarai Liga Super buat kali-11 berturut-turut sekaligus melengkapkan ‘dominasi total’ pada musim ini.
Rizal menyifatkan tiada pasukan dalam Liga Super mampu memberi saingan kepada JDT yang kini masih mengekalkan rekod tanpa kalah.
“Sebab kita tengok dia menang semua piala yang dipertandingkan, sebab itulah kita kena bagi gelaran yang paling atas. Kita tengok JDT ini memang ada satu keazaman untuk sentiasa menjadi yang terbaik.
“Mereka juga tidak suka kepada kekalahan, jadi sebab itulah mereka berada di tempat mereka sekarang. Selain JDT ini memang sudah kuat, mereka juga tiada saingan yang kuat, JDT ini memang ‘super wow’,” katanya..
Kekuatan JDT juga lima kali ganda lebih kuat berbanding pasukan lain kerana mereka sentiasa ‘naiktaraf’ pada setiap musim.
“Kalau pasukan lain mungkin bentuk pasukan yang dua kali lebih kuat daripada musim sebelumnya tetapi JDT bentuk pasukan yang lima kali ganda lebih kuat.
“Daripada situ sahaja kita boleh tengok betapa berbezanya keazaman JDT untuk terus berada di atas,” katanya.