Syarikat penerbangan premium, Batik Air menjadi syarikat penerbangan Malaysia pertama yang mengendalikan penerbangan komersial terjadual antara Dili dan Kuala Lumpur.
Laluan bersejarah ini membuka pintu baharu ke Malaysia buat para pelancong dari Timor-Leste dalam memberikan akses mudah ke pelbagai tarikan bertaraf dunia negara ini.
Baca Juga:
- Atas Faktor Keselamatan, Batik Air Umum Pembatalan Sementara Penerbangan ke Lahore & Amritsar
- Batik Air Mudahkan Perjalanan Perayaan Dengan Tambang Tetap Ke Sabah Dan Sarawak
- Batik Air Umum Laluan Baharu Ke Hat Yai & Krabi
Di samping itu, ia turut mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab utama penerbangan dan pelancongan serantau.
Perkhidmatan dua kali seminggu ini mencerminkan komitmen Batik Air dalam memperkukuh hubungan serantau menerusi pengembangan pasaran strategik.
Laluan Baharu Batik Air
Dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA Terminal 1) sebagai hab utama, penumpang dari Dili kini boleh menikmati sambungan penerbangan yang lancar ke lebih 60 destinasi di 20 buah negara, merangkumi Asia, Timur Tengah dan Australia.
Penyertaan Batik Air dalam pasaran yang sedang berkembang ini merupakan langkah tepat pada masanya yang menyokong pertumbuhan sektor pelancongan Malaysia dengan menarik pelancong baharu dari salah satu negara termuda ASEAN.
Dikendalikan oleh pesawat Boeing 737, penerbangan terus antara Dili dan Kuala Lumpur mengambil masa kira-kira empat jam 15 minit.
Para pelancong boleh memilih daripada pelbagai jenis tambang yang ditawarkan mengikut keperluan masing-masing, termasuk Economy Super Saver, Value, Flexi dan Business Class.
Dengan penambahan terbaharu dalam rangkaiannya ini, Batik Air terus memposisikan dirinya sebagai penghubung laluan yang kurang diberi perkhidmatan, merapatkan komuniti serta membuka peluang baharu dalam kerjasama, perdagangan dan penerokaan merentasi ASEAN dan seterusnya.