Luluh hati warga netizen mengetahui satu kisah hiba yang dikongsikan oleh Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Chai berkenaan nasib sepasang suami isteri yang terpaksa menunggu selama 14 hari untuk mengebumikan jenazah bayi mereka.
Yang lebih menyayat hati apabila bayi yang meninggal dunia tersebut terpaksa dibekukan oleh di sebuah hospital swasta susulan si bapa tidak mampu membayar bil hospital berjumlah RM3,600.
Bukan sekadar itu, ibu kepada Adham Mikail juga tidak dibenarkan keluar dari wad untuk dijadikan sebagai jaminan sehinggalah si bapa selesai menjelaskan bil rawatan pada 11 pagi semalam.
Menurut Wan Chai, bayi tersebut sudah meninggal dunia pada 24 November lepas, namun jenazah berkenaan telah ‘ditahan’ oleh pihak hospital swasta kerana bapa kepada anak syurga ini tidak mampu membayar bil.
“Adik Muhammad Adham meninggal dunia selepas 30 minit dilahirkan asbab tidak cukup sifat iaitu hanya mempunyai satu mata, tiada hidung dan tiada saluran lubang najis, penghuni syurga.
“Hancur luluh bila melihat jenazah anak tanpa dosa ini, 100 peratus beku. Bayangkan bayi yang sudah meninggal dunia pada 24 November ditahan selama dua minggu dan diletakkan dalam peti sejuk,” kongsi Mr Wan Chai.
Berdasarkan video yang dikongsikan, dapat dilihat jenazah bayi tersebut dalam keadaan beku sepenuhnya dan ada beberapa individu cuba melakukan proses nyahbeku jenazah berkenaan.
Oleh itu, mereka terpaksa menggunakan air panas yang dicampur dengan air paip untuk melembutkan tubuh dan sendi-sendi bayi tersebut.
Dalam pada itu, si suami mendedahkan yang dia bergegas ke hospital dari tempat bekerja sebaik mendapat makluman yang isterinya telah dihantar ke sana oleh jirannya untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
Lebih meruntun jiwa, bapa Adham Mikail tetap berusaha untuk melangsaikan bil hospital yang tertunggak walaupun baru lima hari bekerja di salah sebuah kilang yang mana berjaya menyelesaikan tunggakan sebanyak RM1,800.
Tidak mahu mendedahkan lebih lanjut maklumat berkaitan hospital tersebut bagi menggelakkan sebarang masalah timbul kepada pasangan suami isteri itu, Mr Wan Chai berkongsi urusan pengebumian menggunakan hasil dana infaq orang ramai dan anak syurga itu disemadikan di Selat Klang, Selangor.
Menjengah ke ruangan komentar, selain rasa sedih, netizen meluahkan rasa geram kepada pihak hospital swasta terbabit kerana sanggup berbuat sedemikian oleh kerana tidak mampu membayar bil rawatan di situ.
Ramai juga memaklumkan yang mereka sanggup mengutip sumbangan kilat jika perkara ini dimaklumkan lebih awal kerana percaya urusan jenazah perlu diselesaikan dengan segera.