Indonesia menambah seorang lagi pemain kacukan dalam usaha memperkuatkan skuad kebangsaan selepas penyerang muda, Jens Raven kini bergelar Warga Negara Indonesia (WNI).

Perkembangan terkini itu disahkan laman sesawang rasmi Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) dimana pemain berusia 19 tahun itu mengangkat sumpah di Pejabat Wilayah Kementerian Hukum dan Hal Ehwal Manusia Jakarta, semalam.

Baca Juga:

Raven merupakan pemain skuad bawah 21 tahun FC Dordrecht dimana pasukan utama kelab tersebut beraksi dalam saingan Divisyen 2 Belanda.

Difahamkan, nama Raven turut berada dalam senarai awal skuad Indonesia bagi menghadapi Kejohanan AFF B-19 2024 yang bakal berlangsung di Surabaya bermula 17 Julai nanti.

Mengulas mengenai keputusan Raven memilih untuk menjadi WNI, Erick Thohir jelas menyambut baik kehadiran pemain dengan ketinggian hampir 190cm itu.

“Sudah pasti saya menyambut baik kehadiran Jens Raven, pemain muda untuk menambah kekuatan skuad kebangsaan, baik pasukan B-19, pelapis atau senior yang memang memerlukan pemain berkualiti.”

“Apatah lagi kita telah banyak menambah pemain-pemain pertahanan, kehadiran Jens yang biasa beraksi di posisi tengah dan serangan, kita sangat memerlukannya.”

Indonesia pada ketika ini sudah memiliki pemain-pemain kacukan seperti Jordi Amat (Johor Darul Ta’zim), Justin Hubner (Cerezo Osaka), Elkan Baggot (Ipswich Town), Sandy Walsh (KV Mechelen), Shayne Pattynama (Eupen), Ivar Jenner (Jong Utrecht) dan Rafael Struick (ADO Den Haag).

Kehadiran pemain-pemain ini jelas telah meningkatkan kemampuan skuad kendalian Shin Tae-yong yang dilihat semakin garang dalam menghadapi pentas antarabangsa.