Restoran mamak dibawah naungan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) mendedahkan iklan kerja kosong tidak mendapat sambutan yang diharapkan bagi mengambil pekerja tempatan menerusi Jabatan Tenaga Kerja di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Susulan itu, Presiden PRESMA, Datuk Jawahir Ali Taib Khan, berkata yang mereka tidak mempunyai pilihan selain mengharapkan kerajaan membenarkan pengambilan pekerja asing bagi memenuhi keperluan operasi ahli masing-masing.

Katanya lagi kepada Berita Harian, pihaknya juga tiada masalah untuk menggajikan pekerja dalam kalangan etnik Rohingya yang berada di negara ini selagi mereka mempunyai dokumen yang teratur serta dibenarkan oleh kerajaan untuk diambil bekerja.

“Untuk mengambil etnik Rohingya yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), saya difahamkan ketika ini belum ada dasar yang jelas lagi mengenai mereka.

“Kami tiada masalah untuk mengambil mereka untuk bekerja jika langkah itu dibenarkan oleh pihak berkuasa,” ujarnya lagi.

Malah, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan yang sedia berbincang bersama agensi berkaitan mengenai permintaan berhubung kebenaran membawa masuk pekerja asing dalam sektor restoran susulan masalah yang dihadapi untuk mendapatkan pekerja tempatan walaupun pelbagai inisiatif sudah diambil ahlinya.

Ahli PRESMA juga sedia mematuhi pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu yang menyaksikan kenaikan haji minimum RM1,700 sebulan berkuat kuasa mulai hari ini berbanding sebelum ini RM1,500 sebulan.

“Berhubung gaji minimum itu, PRESMA bukan saja memastikan ia dipatuhi, malah ahli kami memberi nilai tambah seperti menyediakan makanan percuma, selain ada yang menyediakan kemudahan asrama yang selesa untuk pekerja masing-masing.

“Sebelum ini, PRESMA pernah beberapa kali mengadakan temuduga terbuka untuk orang ramai, namun ia tidak mendapat sambutan.

“Jadi, tidak timbul isu PRESMA tidak mahu menggaji pekerja tempatan sebaliknya faktor kesesuaian menjadi antara penyebab kenapa ia tidak mendapat sambutan,” katanya.

Jawahir mengakui, pekerja tempatan yang tidak biasa dengan sektor restoran, mungkin berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran serta memastikan kualiti makanan dan minuman yang disediakan.

Oleh itu, PRESMA menyambut baik sekiranya Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dapat membantu pemilik restoran mendapatkan pekerja tempatan untuk menjadi sebahagian daripada tenaga kerja dalam bidang itu.