Apabila seseorang hilang tanpa jejak, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula.
Pasukan beruniform menggadai masa, keringat, dan wang ringgit meredah hutan belantara. Di kem pangkalan, ahli keluarga duduk berteleku menghitung setiap saat yang berlalu dengan dada yang sesak, berdoa agar insan tersayang pulang bernyawa.
Namun, di celah-celah kekalutan dan air mata ini, muncul satu kelompok manusia yang cukup licik. Mereka menangguk di air keruh, menjual harapan palsu bertopengkan agama dan perubatan alternatif.
Sepanjang pencarian, keluarga Acap tidak henti-henti dilempar dengan kata-kata sinis di media sosial.
“Kenapa tak panggil ustaz tu? Kenapa tak pergi jumpa perawat ni? Bukankah itu ikhtiar yang patut dibuat?”
Mudah sungguh jemari netizen menaip kritikan. Hakikatnya, dalam keadaan fikiran yang buntu dan jiwa yang luluh, keluarga Acap keseorangan. Mereka tidak tahu siapa yang benar-benar jujur dan siapa yang datang sekadar mahu menyedut darah.
Setelah tujuh tahun mengunci mulut, keluarga Acap akhirnya tampil mendedahkan satu realiti pahit yang terpaksa mereka telan sepanjang tempoh kritikal pencarian tersebut.
Demi mencari Acap, keluarga ini telah menjadi mangsa eksploitasi pihak-pihak yang menunggang gelaran ‘perawat’. Antara insiden pemerasan yang berlaku yang dipetik hantaran asal ahli keluarganya di media sosial termasuklah:
Tuntutan Melampau Perawat Pertama: Keluarga pernah disyorkan kepada seorang perawat. Selepas berbual seketika untuk mendapatkan gambaran, perawat tersebut tanpa segan silu meletakkan harga, “Kalau nak saya bantu, sediakan wang sebanyak RM18,000.”
Pemerasan Beribu Ringgit: Terdapat perawat yang datang membawa cerita kehebatannya sendiri. Malangnya, ia hanyalah satu taktik licik yang akhirnya menyebabkan keluarga kerugian beribu-ribu ringgit.
Alasan Kenduri di Puncak Bukit: Ada juga pihak yang meminta wang dengan alasan mahu melakukan ritual. “Kita perlu buat kenduri di puncak bukit sana, kos anggarannya sekitar RM6,000.”
Pakej Harga Menyelamatkan Nyawa: Lebih menyayat hati, ada kumpulan yang memberikan kata-dua dengan cara yang cukup menekan emosi.
“Jika kau nak adik kau, kau kena lantik kami. Hanya kami yang mampu selesaikan masalah encik. Kos permulaan ‘scan’ (imbasan) adalah RM3,000. Kemudian RM13,000 lagi untuk proses keluarkan dia.”
Caj Sesuka Hati: Ada perawat yang dengan angkuhnya meletakkan harga tidak munasabah dengan alasan, “Encik dah panggil kami ke mari. Maka kami ada hak untuk caj servis kami mengikut kehendak kami.”
Terdapat banyak lagi siri penipuan dan pemerasan yang dilakukan terhadap keluarga Acap. Kumpulan ini disifatkan sangat licik dan pandai berdalih. Namun, ketika itu, pihak keluarga memilih untuk mendiamkan diri, bersabar, dan menumpukan seluruh tenaga ke atas misi pencarian Acap.
Walau bagaimanapun, aktiviti tidak bermoral ini berjaya dihidu oleh pihak polis. Komandan operasi merangkap Ketua Polis Daerah (OCPD) Kampar ketika itu menyedari wujudnya unsur niat jahat dan pemerasan, lalu terus berhubung dengan pihak keluarga.
Setelah berbincang sesama ahli keluarga dan mengambil kira situasi SAR yang sedang memuncak dan sangat kritikal, mereka mengambil keputusan yang berat untuk tidak mendedahkan individu-individu terbabit kepada pihak berkuasa pada waktu tersebut.
Pendedahan ini bukanlah untuk memukul rata semua pengamal perubatan alternatif. Masih ada perawat yang jujur dan ikhlas membantu.
Namun, ia menjadi satu peringatan tragis bahawa di saat sebuah keluarga sedang bergelut dengan nyawa dan harapan, ada segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang sanggup menangguk di air keruh demi meraih keuntungan peribadi.