Kerajaan negeri Johor hari ini mengumumkan cuti peristiwa pada 17 Disember ini susulan kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Piala Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) semalam.

Menurut kenyataan rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Azmi Rohani, pemberian cuti khas tersebut turut bertujuan untuk meraikan kejayaan JDT melakar sejarah muncul pasukan pertama di Malaysia meraih ‘double quadruple’.

Baca Juga:

Satu acara khas turut diadakan di Stadium Sultan Ibrahim pada 16 Disember ini untuk sambutan meraikan peristiwa bersejarah tersebut selepas tamat aksi Liga Super menentang Penang.

“Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dengan ini kerajaan negeri Johor memutuskan untuk mengisytiharkan Ahad iaitu 17 Disember ini sebagai hari cuti khas peristiwa bagi seluruh rakyat Johor.

“Pemberian cuti khas peristiwa ini merupakan penghargaan kerajaan negeri kepada pihak terlibat dan rakyat Johor yang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan bola sepak JDT yang telah melakar sejarahnya tersendiri dalam arena bola sepak negara.

“Ini juga meraikan kejayaan JDT dalam menjulang trofi Piala Malaysia pada malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan.

Azmi berkata, keputusan pengisytiharan cuti khas peristiwa itu adalah selaras peruntukan kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 9(1) Akta Hari Kelepasan Am 1951 [Akta 369].

Semalam, JDT menewaskan Terengganu FC 3-1 dalam aksi final Piala Malaysia 2023 sekali gus menyapu bersih empat piala yang dipertandingkan dalam Liga Malaysia musim ini.

Selain Piala Malaysia, skuad kendalian Tano Solari itu telah meraih gelaran juara Piala Sumbangsih, Liga Super dan Piala FA serta masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam semua perlawanan setakat ini.