Indonesia meneruskan dasar ‘pandang ke Belanda’ dimana mereka melantik anak kepada lagenda Barcelona, Johan Cruyff iaitu Jordi Cruyff sebagai penasihat teknikal skuad kebangsaan negara itu.
Perkara ini diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) dimana langkah ini diambil bagi meningkatkan mutu bola sepak di negara itu.
Baca Juga:
- Pengakuan Patrick Kluivert Mengenai Sasaran Bersama Indonesia
- Australia Berminat Bida Piala Asia 2031, Saingi Indonesia
- Bekas Pemain Juventus Bakal Perkuatkan Indonesia
Jordi Cruyff Bantu Patrick Kluivert
“Kami berbesar hati mengalu-alukan Jordi Cruyff sebagai Penasihat Teknikal PSSI yang baharu,” kata Erick Thohir.

“Patrick Kluivert dan Jordi mengenali antara satu sama lain, dan apabila dia mengesyorkan saya sangat gembira. Pengalaman beliau sebagai pemain dan jurulatih akan menjadi sangat penting dalam membina masa depan bola sepak Indonesia.
“Terus terang, membawa masuk sosok yang bermutu seperti Jordi bukanlah mudah. Jadi ini mesti sangat dihargai kerana Jordi sangat serius untuk memajukan bola sepak kami.”
Dalam peranannya, jurulatih berusia 51 tahun itu akan memberikan pendapat dan menentukan hala tuju bola sepak Indonesia bersama Pengarah Teknikal yang akan dilantik nanti.
Ini akan memberi tumpuan kepada metodologi latihan, pembangunan akar umbi, laluan kerjaya untuk pemain elit, dan pembangunan sistem teknikal secara keseluruhan.

“Saya sangat teruja,” kata Jordi Cruyff. “Saya tidak sabar untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan untuk memajukan tahap bola sepak Indonesia. Bakat itu ada, dengan struktur yang betul dan sokongan yang betul, kami boleh mencapai impian hebat di pentas dunia.”
Jordi membawa banyak pengetahuan dan pengalaman dalam bola sepak, termasuk menjadi Pengarah Sukan di FC Barcelona selain sebagai Ketua Jurulatih di Shenzhen FC dan Chongqing Dangdai Lifan dalam Liga China.
Sebelum ini dia bermain di FC Barcelona dan Manchester United, yang merupakan dua kelab terbaik di dunia. Jordi juga pernah bermain untuk pasukan kebangsaan Belanda.