Jose Mourinho bakal kembali ke bidang kejurulatihan selepas dilaporkan bersetuju untuk membimbing kelab saingan Turkish Super Lig, Fenerbahce.
Laporan Sky Sports mendedahkan pengendali berusia 61 tahun yang sebelum ini dipecat AS Roma sudah menyatakan persetujuan bagi memeterai kontrak selama dua tahun bersama kelab Turkiye itu.
Baca Juga:
- Jose Mourinho Dedah Kesilapan Paling Besar Dilakukan Dalam Kariernya
- Lihat Jose Mourinho Ramal Negara yang Akan Ke Final Piala Dunia 2018
- VIDEO: Keraian Bersahaja Pengurus Al-Okhdood Selepas Pasukannya Elak Penyingkiran
Perkembangan terkini itu sekali gus menamatkan spekulasi yang mengaitkan Mourinho dengan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Saudi Pro League.
Mourinho sebelum ini pernah membimbing kelab-kelab gergasi seperti Real Madrid, Chelsea, Manchester United, Inter Milan, Tottenham Hotspur, AS Roma, Porto dan Benfica.
Selain ketika bersama Tottenham dan Benfica, hampir kesemua trofi utama dalam kancah bola sepak Eropah pernah dimenanginya seperti dua trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Liga Europa, Liga Perdana Inggeris, Serie A, La Liga dan banyak lagi.
Sudah terbukti kemampuan sepanjang kariernya, khidmat Jose Mourinho pastinya ditagih oleh Fenerbahce dalam usaha untuk menamatkan penantian muncul juara liga yang menyaksikan kali terakhir kelab tersebut menjulang Turkish Super Lig pada 2013/14.
Fenerbahce menamatkan musim 2023/24 ditangga kedua apabila hanya ketinggalan tiga mata dibelakang kelab gergasi, Galatasaray.
Dusan Tadic, Edin Dzeko dan Fred merupakan antara tonggak skuad yang berpangkalan di Kadikoy itu.
Dzeko turut cemerlang selepas penyerang veteran itu meledakkan 21 gol dalam kempen liga manakala Tadic pula mencipta 14 bantuan jaringan.