Pada minggu lalu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka bidaan bagi nombor pendaftaran istimewa (NPI) bermula huruf M diikuti nombor dan berakhir sekali lagi dengan huruf M sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66.
Bidaan yang berlangsung selama lima hari itu berjaya merekodkan kutipan keseluruhan sebanyak RM20,091,970.
Baca Juga:
- JPJ Buka Bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa Bersempena Hari Kemerdekaan
- Tertinggi Sejak Pelancaran JPJeBid, JPJ Kutip RM34.29 Juta Daripada Bidaan Nombor Pendaftaran Siri ‘FF’
- JPJ Raih Pendapatan RM4.1 Bilion Dengan Sistem JPJeBid Sebagai Penyumbang Terbesar
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu kenyataan hari ini berkata, berdasarkan kepada rekod bidaan, M1M merupakan NPI yang telah dibida dengan harga paling tinggi, iaitu RM622,000.
Manakala M5M berada ditempat kedua tertinggi dengan harga RM500,000 disusuli M8M dengan nilai RM450,000, M9M (RM402,004) dan M6M (RM350,000).
Katanya siri M____M juga telah menunjukkan sambutan yang luar biasa daripada pembida dengan jumlah penyertaan seramai 25,033 orang dan 6,872 pembida berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing.
Sementara itu, lima nombor yang paling banyak dibida oleh orang ramai ialah M101M (39 pembida), M155M (33 pembida), M51M (32 pembida), M313M (31 pembida) dan M39M (28 pembida).
JPJ juga mengucapkan tahniah kepada pembida yang telah menerima keputusan rasmi pada 5 September lalu dan juga kepada semua pengguna yang telah menyertai bidaan bagi mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan pilihan masing-masing melalui Sistem JPJeBid.
Terdahulu, JPJ berjaya mengutip RM34.29 juta daripada bidaan nombor pendaftaran siri FF pada Mei lalu.
*Ikuti Facebook dan Instagram VOCKET CAR CLUB untuk ketahui perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara.