Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) telah meningkat kepada 146,611 orang berbanding 142,684 pada petang tadi (30 November 2024) menurut laporan Bernama.

Kelantan terus merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi, namun situasi bencana itu di tiga negeri membabitkan Perlis, Negeri Sembilan dan Selangor mencatat penurunan mangsa, setakat jam 8 malam ini.

Baca Juga:

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir yang berlindung di 285 PPS telah mencecah 93,158 orang daripada 28,830 keluarga setakat ini, berbanding 91,279.

Berdasarkan maklumat portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jajahan Pasir Mas kekal mencatat jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 27,829 orang, diikuti Tumpat (16,390), Kota Bharu (13,754), Pasir Puteh (9,466) dan Kuala Krai (6,951).

Turut terkesan ialah Bachok dengan 6,634 mangsa banjir, Machang (6,075), Tanah Merah (5,334), Jeli (737) dan Gua Musang (27).

Menurut portal infobanjir.water.gov.my pula, air di tujuh sungai utama masih melepasi paras bahaya tetapi menunjukkan penurunan.

Sungai terbabit ialah Sungai Kelantan di Kusial Baru yang mencatat bacaan 17.92 meter (m), Sungai Kelantan di Kusial (17.93m), Sungai Golok di Rantau Panjang (11.20m), Sungai Kelantan di Tambatan Diraja (5.52m), Sungai Golok di Tumpat (4.24m), Sungai Melor di Bachok (9.24m) dan Sungai Semerak di Pasir Puteh (4.10m).

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 41,409 orang, malam ini, berbanding 39,954 pada sebelah petang.

Besut muncul daerah paling terjejas dengan 15,984 mangsa banjir (4,260 keluarga) ditempatkan di 121 PPS.

Hulu Terengganu pula merekodkan seramai 6,652 mangsa banjir di 62 PPS; Setiu (6,470 orang, 50 PPS); Dungun (5,776 orang, 41 PPS); Kuala Terengganu (2,243 orang, lapan PPS); Kemaman (2,277 orang, 14 PPS); Kuala Nerus (1,214 mangsa, tujuh PPS); dan Marang (793 orang, lapan PPS).

Di Kedah, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain, dalam satu kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir kini meningkat kepada 8,580 orang (2,622 keluarga) berbanding 8,252 orang (2,514 keluarga) pada petang tadi.

Mereka ditempatkan di 52 PPS, iaitu 2,693 mangsa banjir di 16 PPS di Kubang Pasu; Kota Setar (2,820 orang, 12 PPS); Padang Terap (1,186 orang, sembilan PPS); Sik (1,087 orang, lapan PPS); Pokok Sena (594 orang, empat PPS); Kuala Muda (182 orang, dua PPS); dan Baling (18 orang, sebuah PPS)

Di Johor, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 507 orang berbanding 449 pada petang semalam.