Real Betis mendapat tonik berguna menjelang pertemuan dengan Real Madrid dalam saingan LaLiga pada hujung minggu ini apabila kad merah diterima Antony telah ditarik balik.

Antony telah memainkan peranan penting dengan beraksi cemerlang buat Real Betis sejak dipinjamkan ke kelab tersebut dari Manchester United pada jendela perpindahan Januari lalu.

Baca Juga:

Dalam kecemerlangannya, beliau bagaimanapun diperintahkan keluar padang ketika bertemu Getafe selepas terjahan keras dilakukannya terhadap pertahanan lawan, Juan Iglesias pada lewat aksi.

Ketika peluang seakan-akan tertutup untuk beraksi bertemu Real Madrid, Antony mendapat peluang kedua selepas rayuan dibuat Real Betis telah diterima yang sekali gus hukuman tersebut terbatal.

Perkembangan terkini itu jelas melegakan pengendali Real Betis, Manuel Pellegrini yang pastinya menagih sentuhan pemain sayap berusia 24 tahun itu.

Satu keadaan yang membuatkan Antony akan menjadi igauan buat Real Madrid pada perlawanan di Benito Villamarin, Seville itu.

Selepas karier yang agak malap di Manchester United, keputusannya untuk berkelana ke Real Betis secara pinjaman jelas membuahkan hasil.

Setakat ini beliau sudah meledakkan tiga gol dan mencipta dua bantuan jaringan buat pasukannya.

Seperti dilaporkan sebelum ini, Antony mengakui dirinya yang cukup gembira di Real Betis merintis kepada aksi cemerlang dijelmakannya.

Real Betis pada ketika ini sedang menghuni tangga ketujuh dengan mengumpul 35 mata hasil sembilan kemenangan, lapan keputusan seri dan lapan kekalahan.