Permainan video yang cukup popular dikalangan para pelajar sekolah dahulu, Counter-Strike didapati memberikan manfaat buat para pemain.

Satu kajian yang dijalankan oleh para saintis di Sekolah Psikologi di Universiti Sheffield mendapati bahawa pemain berpengalaman dan mahir dalam permainan video tersebut berkebolehan lebih pantas dalam bertindak balas membuat keputusan.

Baca Juga:

Pemain dengan tahap kepakaran tertinggi – separa profesional atau profesional – mengatasi pemain baru dengan purata 88.94 milisaat dalam membuat keputusan dua pilihan yang mudah.

Dalam membuat keputusan yang lebih kompleks, pemain pakar juga menunjukkan pengumpulan maklumat yang lebih pantas, menunjukkan bahawa pemain Counter-Strike ini mempunyai kelebihan dalam persekitaran pantas di mana keputusan segera adalah amat penting.

Counter-Strike adalah pilihan yang ideal untuk mengkaji kesan permainan video terhadap kognisi kita kerana permainan yang pantas ini melibatkan dua pasukan yang bersaing antara satu sama lain, menavigasi peta, serta berkomunikasi dengan rakan sepasukan mereka — yang memerlukan pemprosesan kognitif yang tinggi.

“Pemain perlu memahami keadaan sekeliling dengan cepat, mengurus pelbagai perkara serentak, dan membuat keputusan tentang perkara yang perlu diberi tumpuan untuk meningkatkan peluang kejayaan mereka dalam permainan.

“Permainan video boleh menjadi ruang selamat untuk kita mengkaji dan memahami bagaimana kebolehan kognitif kita bertindak balas dalam situasi bertekanan tinggi,” kata Professor Claudia.

Menurutnya, dengan mengkaji pemprosesan kognitif dengan cara ini, ia mungkin dapat membangunkan kaedah baharu untuk memupuk dan menyokong kebolehan kognitif individu yang bekerja dalam persekitaran yang memerlukan mereka membuat keputusan yang pantas dan tepat di bawah tekanan yang tinggi.

Para saintis di Sheffield sedang mengembangkan kajian Counter-Strike dengan bekerjasama dengan ahli akademik di Universiti Geneva untuk membandingkan bagaimana League of Legends mempengaruhi psikologi pemain – sebuah permainan yang dimainkan oleh lebih daripada 150 juta orang di seluruh dunia.