Syarikat e-hailing Maxim Malaysia sedang mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa pengangkutan selepas diarahkan untuk menghentikan operasi bermula 24 Julai.

Dalam satu kenyataan baru-baru ini, syarikat itu menegaskan bahawa ia terus beroperasi di seluruh negara sementara perbincangan masih berlangsung, petik Free Malaysia Today.

Baca Juga:

“Kami kini sedang berbincang dengan pihak berkuasa yang berkaitan mengenai cara untuk menyelesaikan perkara ini dengan segera sambil mengekalkan hubungan baik dan reputasi yang telah kami bina selama ini,” katanya.

Syarikat itu menegaskan bahawa keselamatan awam, serta keselesaan dan keselamatan pengguna, telah menjadi keutamaan utama sejak ia mula beroperasi pada tahun 2019.

Ia juga menyatakan bahawa pemandu di bawah platformnya diwajibkan menjalani pemeriksaan ketat oleh ‘pegawai khas’ syarikat bagi memastikan mereka mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan, khususnya Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad).

“Kami ingin memberi jaminan bahawa Maxim Malaysia akan sentiasa mematuhi undang-undang negara, bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk menyelesaikan sebarang isu, dan memberikan sokongan sepenuhnya,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah menghantar surat memberhentikan operasi kepada Maxim, serta satu lagi aplikasi e-hailing dari Rusia.